Isu bankrap.
Kegagalan membayar balik pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada kes kebankrapan di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan sebanyak 31,517 kes bankrap dari tahun 2021 hingga bulan lalu, dengan hampir separuh daripadanya berpunca daripada pinjaman peribadi.
“Sebanyak 14,582 kes atau 46 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan adalah berpunca daripada pinjaman peribadi, termasuk melibatkan 4,704 individu berusia 34 tahun ke bawah,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Program Dasar Peluang Kedua (DPK) 3.0 – Pelepasan Fast Track 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim.
Menurut beliau, golongan muda turut terkesan apabila 15 peratus daripada keseluruhan kes bankrap melibatkan individu berumur 34 tahun ke bawah, sekali gus mencerminkan cabaran kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.
Akmal menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran terhadap literasi kewangan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat terjerumus ke dalam kancah hutang.
“Kesedaran kewangan ini perlu dipertingkatkan supaya orang ramai lebih bijak mengurus komitmen kewangan mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua bertujuan membantu individu yang telah diisytiharkan bankrap untuk membina semula kehidupan kewangan mereka.
Program DPK 3.0 kali ini memberi fokus kepada empat kumpulan utama, iaitu ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan kewangan serta pembeli rumah projek terbengkalai.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, Ishak Bakri berkata, sejak program tersebut dilancarkan pada Februari lalu, Jabatan Insolvensi Negeri Johor menerima 45 permohonan daripada individu dalam kategori yang disasarkan.
“Daripada jumlah itu, 31 permohonan melibatkan ibu atau bapa tunggal, 10 daripada PMKS, seorang mangsa penipuan dan tiga kes berkaitan projek perumahan terbengkalai,” katanya.
Isu kebankrapan bukanlah perkara baharu di Malaysia, namun peningkatan kes sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pengurusan kewangan rakyat.
Kerajaan kini dilihat memberi tumpuan bukan sahaja kepada penyelesaian kes sedia ada, tetapi juga langkah pencegahan melalui pendidikan kewangan yang lebih menyeluruh.
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Parlimen bebas bahas, undi calon pendakwa raya: Azalina
Kuota 200 liter RON95 cukup untuk hampir semua pengguna: Amir Hamzah
Ahli NGO didakwa cuci wang hampir RM18 juta, beli banglo dan kenderaan mewah
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar