Lebih 700 kandungan deepfake pemimpin politik diturunkan: MCMC

October 8, 2026 · Isu semasa

Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau deepfake membabitkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026.

Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan itu diambil susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan aduan diterima, pelanggaran garis panduan komuniti platform serta peruntukan undang-undang tempatan.

Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan MCMC dibuat tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat.

“Bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan MCMC adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamuddean (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan serta tindakan terhadap kandungan deepfake yang membabitkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026.

Kementerian turut menjelaskan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk *deepfake*, penipuan dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat kesalahan serta bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.

Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Dalam kes yang membawa kepada pendakwaan, perkara itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian. Pendakwaan hanya boleh dijalankan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.

Kementerian turut menegaskan terdapat mekanisme semak dan imbang bagi memastikan tindakan MCMC dilaksanakan secara adil dan bebas daripada tekanan luar.

Pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan atau keputusan MCMC boleh membuat rayuan kepada Tribunal Rayuan di bawah Akta 588 dan Akta 866. Jika masih tidak berpuas hati, permohonan semakan kehakiman boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut sedang membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) bagi menyampaikan amaran bencana dengan lebih pantas dan bersasar kepada peranti mudah alih di kawasan terjejas.

Sistem itu akan melengkapkan dan seterusnya menggantikan kaedah penyampaian amaran sedia ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurut kementerian, CBS turut direka dengan mengambil kira keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk pengguna yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran serta mereka yang menghadapi kesukaran membaca.

“Selain paparan teks, sistem CBS direka untuk menyokong penyampaian mesej amaran dalam bentuk getaran dan audio melalui fungsi kebolehcapaian pada peranti mudah alih yang serasi,” menurut kementerian itu.

CBS juga mempunyai kelebihan ketika berlaku gangguan internet kerana mesej boleh dihantar terus melalui rangkaian mudah alih kepada peranti pengguna di kawasan terjejas tanpa memerlukan nombor telefon penerima, SMS atau sambungan internet.

Pelaksanaan sistem itu dijangka memperkukuh keupayaan penyampaian maklumat kecemasan kepada orang ramai, terutama ketika berlaku bencana atau situasi yang memerlukan tindakan pantas.

Berita berkaitan
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
2 jam lalu· Isu semasa
Syed Saddiq kekal rekod hadir penuh Parlimen, tidak pernah ponteng
2 jam lalu· Politik
MCMC turunkan kandungan hina Agong di Threads
8 jam lalu· Isu semasa
Belanjawan 2027: MCMC sasar manfaat digital sampai ke luar bandar
13 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
2 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
6 jam lalu · Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
6 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
6 jam lalu · Isu semasa
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok