Lesen media sosial: Syarat nilai ambang 8 juta pengguna akan diteliti

January 22, 2026 · Isu semasa

Kerajaan akan meneliti semula syarat pelesenan media sosial khususnya nilai ambang lapan juta pengguna, susulan kebimbangan bahawa kemudaratan dalam talian boleh berlaku walaupun platform berkenaan mempunyai bilangan pengguna lebih kecil.

Merujuk kepada insiden salah guna fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok di aplikasi X, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pada masa ini platform X dikecualikan daripada pelesenan kerana syarikat itu memaklumkan tidak mempunyai lapan juta pengguna di Malaysia.

Beliau berkata kes melibatkan aplikasi itu bersifat hibrid memandangkan X ialah platform media sosial manakala Grok pula merupakan aplikasi AI.

“Memandangkan insiden yang agak besar seperti ini telah berlaku, maka kita akan menilai semula had nilai ambang lapan juta pengguna kerana kemudaratan dalam talian tidak semestinya tidak berlaku walaupun jumlah penggunanya kurang daripada nilai ambang itu…jadi kita memberi penelitian kepada perkara ini.

“Ini adalah ruang agak hibrid dan memerlukan kementerian serta khususnya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti bagi memastikan dari aspek kawal selia, isu kemudaratan dalam talian dapat ditangani dengan lebih menyeluruh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung langkah mewajibkan penilaian risiko oleh badan bebas terhadap fungsi AI, selain sama ada sekatan terhadap Grok bersifat kekal.

Mengenai audit keselamatan bagi perkhidmatan ataupun penyedia perkhidmatan platform media sosial, beliau berkata Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 menetapkan beberapa perkara yang akan menjadi panduan untuk pihak MCMC dari segi laporan tahunan keselamatan dalam talian perlu disediakan oleh platform.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan kes berkenaan, Fahmi berkata dalam mesyuarat bersama wakil X yang dipengerusikannya semalam, pihak aplikasi itu menyatakan komitmen dan kerjasama mereka untuk mencegah penularan kandungan mudarat dalam talian melalui platform X dan aplikasi Grok.

Sehubungan itu, beliau berkata wakil platform X diminta untuk mengesahkan langkah yang dilaksana itu secara rasmi kepada pihak MCMC bagi membolehkan badan kawal selia menilai keberkesanan langkah tersebut dan mengambil tindakan susulan atau kawal selia yang sewajarnya.

“Tujuan mesyuarat itu untuk mendapatkan penjelasan dan komitmen daripada wakil platform X berhubung langkah pencegahan, pengukuhan ciri-ciri keselamatan bagi pengguna dan usaha diambil untuk mematuhi undang-undang Malaysia dalam mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan dalam talian,” katanya.

Fahmi memaklumkan sehingga kini, MCMC merekodkan 17 aduan atau laporan berkaitan aplikasi Grok yang merangkumi enam aduan rasmi kepada MCMC, dua laporan polis, lapan aduan melalui penandaan media sosial dan satu laporan awal pertama yang dibuka agensi itu.

Bagi langkah keselamatan jangka panjang, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus AI dan tanggungjawab pemberi perkhidmatan dalam talian bagi memastikan kandungan dijana tidak melanggar undang-undang Malaysia termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan ONSA 2025.

Pendekatan itu, beliau berkata disokong melalui tindakan kawal selia kandungan lebih ketat, pemantauan berterusan dan peningkatan kesedaran awam bagi melindungi rakyat Malaysia terutama kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan daripada pendedahan kepada kandungan dalam talian yang memudaratkan.

“Paling penting ialah kesediaan pihak X untuk datang ke Malaysia dan mereka juga telah memberi satu komitmen bahawa mereka berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih mendalam dan terlibat dalam beberapa aktiviti termasuk Kempen Internet Selamat,” katanya. – Bernama

Berita berkaitan
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
9 jam lalu· Isu semasa
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
9 jam lalu· Isu semasa
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
11 jam lalu· Isu semasa
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
11 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
11 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
19 jam lalu · Isu semasa
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
19 jam lalu · Isu semasa
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
22 jam lalu · Isu semasa
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
9 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok