Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memperuntukkan bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berskala besar dilesenkan disifatkan sebagai penting demi memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang digital, menurut Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC).
Badan di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) itu berkata lesen wajib mulai 1 Januari 2026 yang diumumkan MCMC itu penting untuk bukan sahaja memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital, malah akan meningkatkan tahap akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia.
Ujarnya, pelaksanaan selaras dengan peruntukan baharu Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu sebagai perkembangan penting dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
“Kanak-kanak berhak dilindungi daripada kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam persekitaran dalam talian. Tanggungjawab ini menuntut tindakan proaktif dan pencegahan,” kata kenyataan badan itu.
OCC turut merujuk Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang mewajibkan kepentingan terbaik kanak-kanak menjadi keutamaan dalam semua dasar dan tindakan, termasuk reka bentuk serta tadbir urus platform digital.
Di peringkat domestik, Akta Kanak-Kanak 2001 juga menegaskan kewajipan semua pihak melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi.
Sehubungan itu, OCC berkata penyedia perkhidmatan perlu memastikan tetapan lalai dan reka bentuk platform adalah selamat untuk kanak-kanak.
“Ini merangkumi perlindungan mengikut umur, pencegahan kandungan berbahaya, usaha membanteras eksploitasi seksual dalam talian, perantaraan kandungan yang berkesan serta mekanisme pelaporan dan pemulihan yang mudah diakses,” katanya.
Peruntukan ‘deeming’ yang diperkenalkan MCMC, menurut OCC, mengukuhkan prinsip bahawa platform yang mendapat manfaat daripada jumlah pengguna besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab setara di bawah rangka kerja kawal selia negara.
OCC menyokong usaha memastikan operasi platform berada dalam sistem yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan demi menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan.
OCC turut menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan berkaitan dan penyedia perkhidmatan bagi membina ekosistem digital yang lebih selamat.
“Melindungi kanak-kanak dalam talian bukan pilihan, sebaliknya kewajipan undang-undang dan moral,” katanya.
2,257 pengarah syarikat gagal bayar caruman disekat ke luar negara
Bekalan minyak kekal stabil walaupun berdepan konflik Asia Barat
Stok beras dipertingkat hingga 9 bulan, bekalan mencukupi: Mohamad
Politik stabil tarik minat pelabur asing ke Malaysia
Saksi penting dalang komplot jatuhkan kerajaan berada di luar negara: Polis
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan