ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie. Liu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pemimpin politik lebih memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara.
Siew Ki berkata, lima prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan utama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat demi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia terus diutamakan.
“Patik menjunjung tinggi titah Sultan Selangor dan sentiasa menghormati serta mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Liu menyifatkan titah Sultan Selangor itu sebagai peringatan penting agar ahli politik kembali kepada asas pembinaan negara serta menghormati Perlembagaan, institusi diraja dan kedaulatan undang-undang.
Menurut beliau, Rukun Negara perlu difahami secara menyeluruh dan bukan digunakan mengikut kepentingan politik semata-mata.
“Saya amat menghargai titah Sultan Selangor yang mengingatkan ahli politik supaya kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara, terutama ketika suasana politik negara semakin dipenuhi emosi dan perpecahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan politik negara perlu dibina atas dasar kematangan, hormat-menghormati dan kerjasama, bukannya konflik berpanjangan.
“Apa yang rakyat mahukan hari ini bukan pertelagahan berterusan, tetapi kerjasama untuk membina Malaysia yang lebih stabil, matang dan bersatu,” katanya lagi.
Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan Liu dan Siew Ki hadir ke Dataran Selangor bagi membaca serta menghayati Rukun Negara selain memahami kepentingan menghormati institusi diraja dan menjaga adab kesopanan.
Baginda turut mahu semua ADUN Selangor hadir ke dataran berkenaan dua kali sebulan untuk membaca prinsip Rukun Negara yang dipaparkan di kawasan itu.
Isu berkenaan tercetus selepas Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden secara tertutup di Selangor.
Cadangan tersebut dibuat atas alasan kesamarataan rakyat seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Liu sebelum ini turut mempertahankan cadangan itu dengan menyifatkannya sebagai penyelesaian teknikal dalam kerangka undang-undang, selain mencadangkan penternak mempertimbangkan semakan kehakiman berhubung hak yang dilindungi Perlembagaan.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar