MCMC mengambil tindakan mahkamah terhadap platform Telegram.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan injunksi Erinford terhadap Telegram Messenger Inc serta pentadbir dua saluran Telegram, ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’.
Permohonan injunksi itu dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini dan keputusan tersebut akan menghalang pengendali platform media sosial itu daripada terus menerbit atau menyebarkan 33 artikel berunsur fitnah dan berbahaya sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.
Keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahazan Mat Taib itu menekankan kemudaratan terhadap defendan adalah minimum berbanding risiko serius yang boleh timbul jika kandungan berbahaya itu terus disebarkan.
Beliau juga berkata kepentingan awam dan keselamatan negara menjadi keutamaan dalam pertimbangan mahkamah.
“Kepentingan awam mesti mengatasi kepentingan individu apabila melibatkan isu keselamatan serta kestabilan negara,” tegas Mahazan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam proses kehakiman supaya menghormati nilai-nilai asas yang menjadi tunjang sistem perundangan negara.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang berpegang kepada sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen,” ujarnya.
Berdasarkan perintah ini, ketiga-tiga defendan diarahkan untuk menutup saluran Telegram terbabit serta mengelak daripada menyebarkan kandungan berbahaya selagi rayuan belum diputuskan.
Injunksi Erinford ini berfungsi sebagai perintah sementara bagi mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rayuan.
Langkah ini diharap dapat membendung penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.
Saifuddin: Polis buka kertas siasatan, dakwaan Ismail dipaksa jadi perhatian
DKU: Tuanku Muhriz kekal bertakhta, proklamasi penurunan tak sah
FGV lantik firma audit bebas, semak isu tadbir urus
Saifuddin mahu elaun RELA RM8 disemak segera
Lawatan sulung PMX ke Maldives beri momentum baharu hubungan dua hala: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum