Malaysia bida kerusi Majlis Keselamatan PBB

July 13, 2026 · Isu semasa

Malaysia secara rasmi mengemukakan pencalonan untuk kembali menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi penggal 2036 hingga 2037, sekali gus meneruskan hasrat negara memainkan peranan lebih besar dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan dunia.

Timbalan Menteri Luar, Lukanisman Awang Sauni berkata, pencalonan itu dibuat berasaskan pengalaman Malaysia yang pernah menganggotai UNSC sebanyak empat kali sebelum ini.

Menurut beliau, sekiranya dipilih, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha memperbaharui sistem UNSC, termasuk memperjuangkan pemansuhan atau sekurang-kurangnya mengehadkan penggunaan kuasa veto oleh lima anggota tetap majlis itu.

“Sekurang-kurangnya, kuasa veto tidak sepatutnya digunakan dalam kes yang melibatkan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, seperti jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya ketika menjawab soalan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata, penggunaan kuasa veto secara berulang kali telah menjejaskan kredibiliti UNSC dan menghalang badan itu daripada melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan serta keselamatan antarabangsa, termasuk dalam menangani konflik di Gaza.

Lukanisman turut memaklumkan Malaysia menyokong cadangan menambah bilangan anggota tetap dan tidak tetap UNSC supaya perwakilan serantau menjadi lebih seimbang serta mencerminkan landskap geopolitik dunia masa kini.

Mengulas mengenai Resolusi 76/262 Perhimpunan Agung PBB yang diluluskan pada April 2022, beliau berkata setiap penggunaan kuasa veto kini perlu disusuli sidang Perhimpunan Agung PBB dalam tempoh 10 hari bekerja.

“Anggota tetap yang menggunakan kuasa veto juga perlu memberi penjelasan kepada negara anggota PBB berhubung keputusan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengingatkan sebarang pindaan terhadap Piagam PBB memerlukan sokongan dua pertiga negara anggota selain ratifikasi daripada kelima-lima anggota tetap UNSC.

Beliau turut bertanya sama ada Malaysia bersedia mengetuai gabungan negara yang berkongsi pendirian sama bagi mendesak penggunaan kuasa veto dihadkan.

Menjawab perkara itu, Lukanisman berkata Kementerian Luar akan meneliti cadangan tersebut, namun mengakui usaha membentuk gabungan antarabangsa memerlukan masa serta sokongan yang kukuh daripada negara-negara anggota.

Jika berjaya dipilih, Malaysia akan berkhidmat selama dua tahun sebagai anggota tidak tetap UNSC dan berpeluang mengundi dalam pelbagai keputusan penting berkaitan konflik antarabangsa, sekatan ekonomi, operasi pengaman serta isu yang melibatkan ancaman terhadap keamanan dunia.

Malaysia kali terakhir menganggotai UNSC bagi penggal 2015 hingga 2016. Sebelum itu, negara turut dipilih sebagai anggota tidak tetap pada 1965, 1989 hingga 1990 serta 1999 hingga 2000.

Kerusi anggota tidak tetap bagaimanapun tidak mempunyai kuasa veto. Keistimewaan itu hanya dimiliki lima anggota tetap UNSC, iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Berita berkaitan
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
13 jam lalu· Isu semasa
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
October 27, 2026· Politik
Bersatu masuk bertanding PRN Melaka, umum kerusi 29 Oktober
October 27, 2026· Politik
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
October 26, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
3 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
3 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
4 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
4 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok