Malaysia desak henti perang, kembali ke meja rundingan: Anwar

March 1, 2026 · Isu semasa

Malaysia mendesak Israel, Amerika Syarikat dan Iran supaya melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat susulan serangan yang semakin meruncing dan mengheret Asia Barat ke ambang krisis lebih besar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ketenteraan dan provokasi berterusan hanya akan memperluaskan konflik serta menjejaskan kestabilan serantau.

Menurutnya, situasi semasa amat membimbangkan dan memerlukan pendekatan diplomasi, bukannya kekerasan.

“Gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak. Sebarang tindakan provokatif mesti dihentikan serta-merta dan semua pihak perlu kembali ke meja rundingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketegangan memuncak selepas Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama Washington melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa sasaran di Iran.

Letupan kuat dilaporkan berlaku di sekitar Tehran, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk ibu kota itu.

Media rasmi Iran melaporkan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei, 86, terbunuh dalam serangan udara yang didakwa didalangi Amerika Syarikat dan Israel, dengan kompleks kediamannya menjadi antara sasaran utama.

Bagaimanapun, pengesahan bebas berhubung laporan itu masih belum diperoleh.

Dalam perkembangan berkaitan, satu serangan ke atas sebuah sekolah di Iran dilaporkan meragut 108 nyawa pelajar, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kecaman antarabangsa.

Konflik antara Israel dan Iran bukan isu baharu, dengan kedua-dua negara sekian lama terlibat dalam perang bayangan melibatkan serangan siber, operasi risikan dan proksi di rantau Asia Barat.

Namun, serangan berskala besar yang didakwa membabitkan campur tangan langsung Amerika Syarikat menandakan peningkatan ketara yang berpotensi mencetuskan perang lebih luas.

Malaysia sebelum ini konsisten menggesa penyelesaian damai dalam konflik antarabangsa, termasuk di Asia Barat, dengan menekankan kepentingan undang-undang antarabangsa dan perlindungan orang awam.

Anwar menegaskan, dunia tidak mampu berdepan satu lagi peperangan besar.

“Keamanan mesti menjadi pilihan utama. Nyawa orang awam tidak boleh terus menjadi korban dalam percaturan geopolitik,” katanya.

Berita berkaitan
Anwar nafi ada arahan halang masuk kawasan FELDA
21 jam lalu· Politik
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
23 jam lalu· Politik
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
June 26, 2026· Politik
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
June 25, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Portal rasmi KKM diserang penggodam
3 jam lalu · Isu semasa
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
22 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
22 jam lalu · Isu semasa
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
22 jam lalu · Isu semasa
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
June 26, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok