Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merasmikan International Regulatory Conference (IRC) 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Kepercayaan rakyat terhadap teknologi digital perlu menjadi keutamaan ketika dunia berdepan ledakan kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum dan pelbagai inovasi baharu yang berkembang pada kadar luar biasa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kemajuan teknologi hari ini bukan lagi diukur melalui kelajuan internet atau liputan rangkaian semata-mata, sebaliknya sejauh mana ia mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat tanpa mengorbankan aspek keselamatan dan akauntabiliti.
“Teknologi berkembang begitu pantas, namun kepercayaan awam menjadi cabaran terbesar dalam era digital baharu. Orang ramai mahu platform yang selamat, bertanggungjawab dan mampu melindungi pengguna,” katanya ketika merasmikan International Regulatory Conference (IRC) 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Fahmi, Malaysia terus memperkukuh agenda transformasi digital menerusi pelaksanaan JENDELA, peluasan rangkaian 5G, pembangunan infrastruktur kabel dasar laut dan pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan daya tahan negara dalam sektor digital.
Beliau berkata, persidangan selama dua hari itu menghimpunkan pengawal selia, penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil dari Malaysia serta luar negara bagi membincangkan cabaran baharu termasuk keselamatan dalam talian, tadbir urus data, AI, komunikasi kuantum dan sistem autonomi.
Katanya, semua isu itu berkongsi matlamat sama iaitu membina ekosistem digital yang dipercayai, bertanggungjawab dan mampu bertahan menghadapi ancaman masa depan.
Fahmi turut menegaskan keselamatan dalam talian tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pengguna, ibu bapa atau pendidik, sebaliknya penyedia platform digital juga perlu memikul tanggungjawab lebih besar.
Sehubungan itu, katanya, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 diperkenalkan bagi mengubah pendekatan negara daripada hanya bertindak selepas insiden berlaku kepada usaha mencegah risiko lebih awal, termasuk memperkukuh akauntabiliti platform dan melindungi kanak-kanak serta golongan rentan.
“AI, komunikasi kuantum dan sistem autonomi membuka peluang besar kepada pembangunan negara, namun pada masa sama menimbulkan cabaran baharu berkaitan ketelusan, maklumat palsu, keselamatan siber dan pengawasan manusia,” katanya.
Beliau menambah kerangka peraturan perlu sentiasa dikemas kini supaya mampu bergerak seiring perkembangan teknologi tanpa mengekang inovasi atau menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ekosistem digital.
Fahmi berkata, cabaran digital hari ini melangkaui sempadan negara dan tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana pihak secara bersendirian.
“Kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia, industri, institusi akademik dan rakan antarabangsa amat penting bagi memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara selamat dan mampan,” katanya.
IRC 2026 berlangsung selama dua hari dengan penyertaan pengawal selia komunikasi, pembuat dasar dan syarikat teknologi dari rantau ASEAN serta beberapa negara lain. Persidangan itu menjadi platform membincangkan hala tuju peraturan digital global ketika penggunaan AI dan teknologi baharu semakin meluas.
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
MB Negeri Sembilan: Tiada calon lain selain Tok Min
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS