Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet semasa rundingan gencatan senjata pada Julai lepas.
Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja melaksanakan kawalan diri yang maksimum serta segera menghentikan pertempuran di sempadan mereka.
Seruan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ekoran laporan serangan udara Thailand ke atas Kemboja yang dipercayai membalas serangan awal pagi sehingga mengorbankan seorang anggota tentera Thailand.
Dalam kenyataannya, Anwar menyatakan kebimbangan mendalamnya dengan laporan pertempuran bersenjata terkini itu.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban atau cedera,” ujar Anwar, yang pernah menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata antara kedua negara jiran itu.
Beliau menegaskan, pertempuran yang kembali meletus itu berisiko meruntuhkan usaha-usaha berhati-hati yang dibina untuk menstabilkan hubungan kedua-dua negara.
Anwar menekankan keperluan untuk kedua-dua pihak mengekalkan saluran komunikasi terbuka dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme sedia ada.
“Keutamaan segera ialah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, dan kembali ke jalan diplomatik yang disokong oleh undang-undang antarabangsa dan semangat kejiranan yang menjadi sandaran Asean,” tegasnya.
Sebagai Pengerusi Semasa Asean, Anwar menambah pertubuhan serantau itu tidak mampu melihat pertikaian ini terjerumus dalam kitaran konfrontasi berpanjangan.
“Malaysia bersedia untuk menyokong langkah-langkah yang dapat membantu memulihkan ketenangan dan mencegah insiden lanjut,” janji Anwar, mengulangi komitmen Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan di rantau ini.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum