Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berhenti memperjuangkan kemerdekaan Palestin walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam usaha mendapatkan sokongan antarabangsa.
Anwar berkata Malaysia tidak pernah berputus asa memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin, malah akan terus membangkitkan isu tersebut dalam setiap pertemuan dengan pemimpin dunia.
“Saya gunakan segala kuasa dan pengaruh, berbicara dengan pemimpin Islam, Jepun, China, India.
“Ke mana saya pergi, saya tidak pernah lupakan saudara kita di Gaza dan Palestin, sentiasa merayu dan mendesak,” tegasnya di hadapan kira-kira 100,000 hadirin semasa Syarahan Perdana bertajuk ‘Malaysiaku Bersama Gaza’ sempena Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka.
Sebagai bukti komitmen berterusan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta sebagai bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Jumlah ini merupakan tambahan kepada peruntukan RM100 juta yang telah disalurkan kerajaan Madani dua tahun lalu.
“Bantuan tambahan ini sangat diperlukan memandangkan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka akibat sekatan dan kekejaman Israel,” jelas Anwar.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Hal Ehwal Agama Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Wilayah Persekutuan Dr. Zaliha Mustafa, dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Acara kemuncak malam tersebut menyaksikan Anwar melepaskan Delegasi Sumud Nusantara untuk Flotila Gaza yang akan berangkat menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Ogos ini.
Delegasi ini menghimpunkan sukarelawan dari lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, dan Bangladesh.
Program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) ini turut diisi dengan solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah, dan persembahan qasidah sebagai simbol doa dan sokongan berterusan umat Islam Malaysia untuk perjuangan rakyat Palestin.
Bekas pengarah penyelidikan IPTA ditahan kes rasuah RM1 juta: Laporan
Diesel diterima Filipina bukan dari perut bumi Malaysia
Kerajaan teliti subsidi bersasar bagi diesel ikut kaedah BUDI95: Fahmi
Harga diesel Sabah, Sarawak, Labuan kekal RM2.15: MOF
Keputusan kes saman barang kemas Rosmah ditetapkan 10 Jun
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan