MAS henti sementara semua penerbangan ke Asia Barat

March 1, 2026 · Isu semasa

Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan penggantungan sementara semua penerbangan ke Doha, Jeddah dan Madinah sehingga Rabu ini susulan situasi keselamatan yang tidak menentu di beberapa bahagian Asia Barat.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan laluan Kuala Lumpur ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah terjejas bermula 1 hingga 4 Mac, melibatkan beberapa penerbangan dua hala termasuk operasi sambungan antarabangsa.

“Penerbangan ke destinasi terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut terhadap situasi keselamatan,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, Malaysia Airlines menjelaskan semua penerbangan lain, termasuk ke London dan Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle, kekal beroperasi seperti biasa buat masa ini.

Laluan berkenaan menggunakan laluan alternatif yang mengelakkan zon konflik.

“Penerbangan ini beroperasi menggunakan laluan alternatif yang jauh daripada kawasan terjejas. Keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan tertinggi,” katanya.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa penumpang yang terkesan sedang dihubungi dan akan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.

Mereka juga disaran mengemas kini maklumat perhubungan melalui fungsi ‘My Booking’ di laman sesawang rasmi bagi memastikan menerima perkembangan terkini secara langsung.

Sebelum ini, Malaysia Airlines telah melaksanakan pembatalan penerbangan ke beberapa destinasi di Asia Barat bermula 28 Februari susulan penutupan ruang udara di kawasan tertentu akibat ketegangan keselamatan serantau yang semakin memuncak.

Langkah berkenaan dilihat sebagai pendekatan berjaga-jaga ketika beberapa negara mengambil tindakan sama bagi melindungi operasi penerbangan masing-masing.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan menegaskan akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai situasi dari semasa ke semasa sebelum membuat keputusan lanjut mengenai penyambungan semula laluan terlibat.

“MAS akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat dan boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu lagi.

Penumpang yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Panggilan Global Malaysia Airlines atau menggunakan perkhidmatan Live Chat yang disediakan.

Berita berkaitan
Bekalan minyak negara stabil hingga Julai: Akmal Nasrullah
10 jam lalu· Isu semasa
Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dipercepat: PMX
May 24, 2026· Isu semasa
Bekalan tenaga negara stabil hingga Julai: PMX
May 22, 2026· Isu semasa
Jangan buat pembelian panik, bekalan asas negara masih stabil: Fahmi
May 21, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan teruskan bantuan BUDI Agri-Komoditi: Anwar
10 jam lalu · Isu semasa
JAWI kekalkan status sesat bagi ajaran Ahmadiah, Qadiani
11 jam lalu · Isu semasa
Harga sayur naik di Kelantan, Mat Sabu arah FAMA pantau
11 jam lalu · Isu semasa
Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2026 dibuka 4 Jun
11 jam lalu · Isu semasa
Institusi tempatan dominasi pembelian saham, kekalkan momentum positif
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok