MCMC ambil tindakan terhadap pengendali platform X.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. dan xAI LLC berhubung dakwaan kegagalan memastikan keselamatan pengguna di Malaysia, khususnya melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan Grok.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan tindakan itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Komunikasi selepas pihaknya mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana serta menyebarkan kandungan berbahaya dalam talian.
“Peguam cara telah dilantik, dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.
“MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya. Ini termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, lebih membimbangkan, kandungan tersebut turut melibatkan wanita dan kanak-kanak dan perbuatan sedemikian jelas menyalahi undang-undang Malaysia serta bertentangan dengan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh platform terbabit.
MCMC turut mendedahkan notis telah dikeluarkan kepada kedua-dua syarikat itu pada 3 dan 8 Januari lalu bagi mengarahkan penghapusan kandungan yang melanggar undang-undang tetapi setakat ini tiada sebarang tindakan diambil.
“Notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari 2026 yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang. Tiada tindakan pemulihan telah diambil,” katanya lagi.
Menurut MCMC, X Corp. dan xAI LLC masih boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna kerana mereka mempunyai kawalan penuh terhadap reka bentuk sistem, pelaksanaan teknologi, mekanisme penyeliaan serta langkah mitigasi risiko bagi Grok.
Kegagalan untuk menguatkuasakan dasar dan kawalan dalaman sendiri disifatkan berpotensi memudahkan aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia.
“MCMC akan terus tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dan melindungi kepentingan awam,” tegas kenyataan itu.
Semua platform digital yang beroperasi atau memberi kesan kepada Malaysia, katanya, wajib mematuhi sepenuhnya keperluan undang-undang dan kawal selia negara.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib