Majlis pertukaran MoU yang disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selangor terus melangkah ke depan dalam agenda pendigitalan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri Selangor bagi mempercepat pembangunan bandar pintar di negeri itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerjasama ini memfokuskan tiga teras utama iaitu pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam serta pengurusan trafik, dan pelaksanaan sistem pengurusan banjir pintar.
Semua inisiatif ini akan diselaras dan dipantau melalui Pusat Operasi Bersepadu dan Pintar Selangor (SIIOC).
“Kerjasama ini seiring dengan Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025 yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat dan daya saing bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU yang disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sebagai sokongan kepada inisiatif tersebut, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM450 juta, meningkat daripada RM350 juta sebelum ini, bagi memperkukuh pembangunan bandar pintar Selangor.
Menurut Fahmi, infrastruktur digital akan menjadi tulang belakang bandar pintar termasuk peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam dan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Matlamatnya jelas, rakyat Selangor perlu menikmati akses internet yang lebih luas, stabil dan berkualiti,” katanya.
Beliau menambah, manfaat langsung kepada rakyat termasuk perkhidmatan awam yang lebih pantas dan responsif, persekitaran bandar yang lebih selamat serta sistem pengurusan trafik dan bencana yang lebih tersusun dan berasaskan data.
“Akses digital yang inklusif penting supaya tiada siapa tercicir dalam ekonomi dan masyarakat digital,” katanya.
Dari sudut ekonomi, pelaksanaan bandar pintar dijangka merangsang inovasi, memperkukuh perancangan bandar berasaskan data dan meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan strategik.
Selangor kini mencatat liputan rangkaian 5G sebanyak 96.9 peratus setakat 31 Disember 2025, tertinggi di Malaysia.
Dengan populasi sekitar 7.4 juta orang, Fahmi menegaskan inisiatif ini memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti komitmen berterusan untuk memastikan kemajuan teknologi dinikmati secara adil,” katanya.
Belanjawan 2027: Pelajar Tingkatan Enam bakal terima elaun
MetMalaysia ramal ribut petir, hujan dan jerebu pada 31 Ogos: Bernama
Dua rakyat Malaysia di Nepal berjaya dikesan, 55 lagi masih gagal dihubungi
AUKU dimansuh, mahasiswa diberi ruang bersuara: Anwar
Pulau Pinang, Johor dan Selangor pacu dagangan negara: DOSM
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri