Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan kerangka baharu pendaftaran kad SIM prabayar dalam usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Langkah itu dimuktamadkan menerusi pendaftaran Standard Mandatori di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekali gus memperketat kawal selia terhadap proses pendaftaran pengguna akhir perkhidmatan selular awam prabayar.
Menurut MCMC, penambahbaikan ini penting bagi menutup ruang penyalahgunaan identiti dan pendaftaran palsu yang sering dieksploitasi sindiket penipuan.
“Standard Mandatori ini diperkenalkan untuk meningkatkan perlindungan pengguna serta memastikan perkhidmatan mudah alih kekal selamat dan mudah diakses,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu kad SIM yang didaftarkan menggunakan maklumat individu lain tanpa kebenaran menjadi antara taktik utama scammer untuk menyukarkan pengesanan pihak berkuasa. K
erajaan sebelum ini turut memperkenalkan pelbagai inisiatif keselamatan digital, termasuk pengukuhan pengesahan identiti dalam talian.
Di bawah kerangka baharu ini, pendaftaran kendiri akan melibatkan pengesahan biometrik serta integrasi MyDigital ID pada masa hadapan.
Platform automatik yang lebih selamat diwajibkan bagi mengurangkan pendaftaran palsu, manakala syarat bagi bukan warganegara diperketat melalui pengesahan pasport berasaskan biometrik.
Antara ketetapan utama ialah had pemilikan lima kad SIM bagi setiap individu warganegara atau pemastautin untuk setiap penyedia perkhidmatan, manakala bukan warganegara dihadkan kepada dua kad SIM sahaja.
Pendaftaran kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan, sementara remaja berusia 12 hingga 17 tahun perlu didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga.
Pengguna juga mesti dimaklumkan status pendaftaran dalam tempoh 12 jam.
Bagi pelancong, tempoh sah kad SIM dihadkan maksimum tiga bulan sebelum ditamatkan secara automatik.
MCMC menegaskan penyedia perkhidmatan dan pengedar sah perlu mematuhi sepenuhnya standard tersebut.
“Sebarang ketidakpatuhan boleh dikenakan tindakan pengawalseliaan bagi memastikan ekosistem komunikasi negara lebih selamat,” jelasnya.
Pengguna turut dinasihatkan supaya hanya mendaftar kad SIM melalui saluran berlesen dan sentiasa berwaspada terhadap tawaran pendaftaran yang mencurigakan.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar