Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk menyaman platform media sosial X susulan dakwaan kegagalan memastikan keselamatan pengguna, khususnya berkaitan kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu itu dibincangkan secara serius berikutan kebimbangan terhadap kandungan di platform berkenaan yang didakwa tidak selari dengan keperluan keselamatan serta undang-undang di Malaysia.
Menurutnya, kegagalan mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia boleh membuka ruang kepada tindakan tegas.
“Jika platform media sosial gagal mematuhi keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia termasuk aspek keselamatan pengguna, tindakan undang-undang boleh diambil.
“MCMC kini sedang mempertimbangkan untuk menyaman X kerana kegagalan memastikan keselamatan pengguna,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor.
Fahmi menjelaskan antara isu utama yang dibangkitkan ialah kandungan yang dijana oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform X yang berpotensi mencetuskan perdebatan tidak sihat, selain kandungan tidak sesuai untuk golongan bawah umur.
“MCMC sedang mengadakan perbincangan berterusan dengan semua platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Dalam Talian dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau turut menyatakan sasaran kerajaan untuk memastikan kerjasama penuh semua platform media sosial menjelang pertengahan tahun ini, khususnya dalam menghadkan akses dan penyebaran kandungan tertentu kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas sahaja.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan kerajaan kini memberi tumpuan untuk menjadikan ruang digital lebih selamat selepas isu infrastruktur komunikasi berjaya ditangani.
“Anak-anak kita menggunakan media sosial setiap hari. Jadi tanggungjawab kerajaan adalah memastikan ruang digital ini selamat dan tidak memudaratkan,” katanya.
Beliau menambah, kenyataan lanjut dan perincian tindakan akan dimaklumkan oleh MCMC dalam masa terdekat.
Sebelum ini, pada 3 Januari lalu, media melaporkan MCMC menjalankan siasatan terhadap kemudaratan dalam talian di platform X, termasuk dakwaan penyalahgunaan AI bagi menghasilkan kandungan memudaratkan melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar