Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mempergiat sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang tempatan yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata tahap kerjasama yang ditunjukkan oleh platform media sosial setakat ini adalah tidak konsisten, dengan ada yang memberi respons pantas dan bertanggungjawab, manakala sebahagian lagi masih gagal menunjukkan komitmen serius.
“Ada platform yang sangat proaktif, tetapi ada juga yang apabila kita salurkan aduan atau maklumat, langsung tidak diendahkan,” katanya dalam satu temu bual khas dengan Bernama.
Menurut Fahmi, meskipun platform dengan lebih lapan juta pengguna tidak lagi diwajibkan memohon lesen operasi seperti diumumkan sebelum ini, semua platform tetap tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang Malaysia.
Katanya, pendekatan itu diambil bagi memastikan penyedia platform bertanggungjawab terhadap kandungan dan aktiviti yang berlaku di ruang digital masing-masing.
“Kita sudah beri peluang. Ada yang akur, ada yang beri pelbagai alasan. Tetapi hakikatnya, jenayah dalam talian bukan sahaja tidak berkurang, malah semakin membimbangkan,” katanya.
Beliau menjelaskan kes penipuan dalam talian kini meningkat dengan ketara, selain pertambahan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan seperti deepfake serta kegiatan perjudian dalam talian yang semakin sukar dikawal.
Fahmi turut merujuk laporan antarabangsa yang mendakwa terdapat platform tertentu memperoleh pendapatan melalui iklan penipuan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang tanggungjawab syarikat teknologi global.
“Disebabkan itu, kerajaan melihat ada keperluan untuk menganggap semua platform media sosial sebagai tertakluk kepada undang-undang negara, walaupun tanpa proses pelesenan formal,” katanya.
Mengulas kemungkinan tentangan daripada platform besar, Fahmi menegaskan kerajaan tidak boleh terus menunggu sedangkan jumlah mangsa terus meningkat.
“Mangsa scam dan penyalahgunaan AI tidak boleh tunggu. Keselamatan pengguna mesti jadi keutamaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua platform dengan lebih lapan juta pengguna perlu mematuhi undang-undang Malaysia mulai 1 Januari 2026, selaras dengan usaha memperkukuh keselamatan ruang digital negara.
Menurut Fahmi, matlamat utama kerajaan bukan untuk mengawal secara berlebihan, sebaliknya memastikan Internet kekal selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Ini soal tanggungjawab bersama, bukan sekadar kawalan,” katanya.
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib