Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan platform media sosial menurunkan kandungan atau menutup akaun pengguna secara langsung.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menjelaskan, setiap aduan yang diterima daripada orang ramai akan dinilai terlebih dahulu sebelum permohonan dibuat kepada penyedia platform untuk mempertimbangkan tindakan lanjut.
Beliau berkata, proses tersebut bukan berbentuk arahan kerana keputusan akhir tetap berada di tangan syarikat pengendali media sosial.
“MCMC apabila menerima aduan daripada orang awam akan membuat penilaian terlebih dahulu.
“Selepas itu barulah permohonan dihantar kepada penyedia platform, dan itu bukan satu arahan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, kuasa MCMC dalam perkara itu terhad kerana penyedia platform mempunyai budi bicara sendiri untuk menentukan tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan.
“Penyedia platform boleh memilih sama ada mengekalkan kandungan tersebut, menggantung akaun untuk tempoh tertentu seperti 72 jam, menutup akaun atau menurunkan hantaran itu secara kekal,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang merasakan tindakan terhadap akaun atau kandungan mereka tidak wajar supaya mengemukakan rayuan melalui MCMC.
Tambahnya, di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, satu tribunal khas secara ad hoc boleh ditubuhkan bagi mendengar rayuan berkaitan keputusan tersebut.
Tribunal berkenaan akan dipengerusikan oleh seorang hakim mahkamah dan dibantu oleh dua anggota lain yang dilantik bagi menilai kes serta membuat keputusan terhadap permohonan rayuan.
Untuk rekod, MCMC merupakan badan selia utama sektor komunikasi dan multimedia negara yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Agensi itu berperanan memantau perkembangan industri telekomunikasi dan internet, selain mengurus aduan berkaitan kandungan dalam talian.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu kawalan kandungan media sosial semakin mendapat perhatian susulan peningkatan kes penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian dan penyalahgunaan platform digital di Malaysia.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
Kawalan ketat SPRM semasa program Azam Baki, elak kekecohan berulang
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan