Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim merasmikan Mini Karnival Kempen Internet Selamat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan digital menerusi penganjuran Mini Karnival Kempen Internet Selamat di Balai Raya JPKK Kampung Parit 8 hari ini.
Program yang menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelajar, belia, ibu bapa, pemimpin komuniti dan penduduk setempat itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.
Penganjuran karnival tersebut merupakan sebahagian daripada siri Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan MCMC di seluruh Selangor bagi memperluaskan kesedaran berkaitan keselamatan siber dan literasi digital sehingga ke peringkat akar umbi.
Menurut MCMC, kempen itu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian termasuk perlindungan data peribadi, pencegahan penipuan siber, etika penggunaan internet serta tanggungjawab pengguna dalam mengekang penyebaran berita palsu dan kandungan berbahaya.
“MCMC komited memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara lebih dekat dan berkesan kepada masyarakat setempat menerusi pendekatan yang santai serta mesra komuniti,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif diadakan bagi menarik penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur.
Antaranya termasuk pertandingan mewarna bertemakan keselamatan internet untuk kanak-kanak, sesi senamrobik komuniti dan pelbagai aktiviti kesedaran serta libat urus bersama peserta.
Dalam usaha memperluaskan impak kempen berkenaan, seramai 32,461 ahli NADI daripada 13 pusat NADI di daerah Sabak Bernam akan berperanan sebagai ejen dan duta komuniti bagi membantu menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan digital kepada penduduk setempat.
Mereka juga akan menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat dalam menyalurkan maklumat terkini mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.
MCMC berkata, penglibatan rangkaian NADI di peringkat komuniti penting bagi memastikan mesej berkaitan keselamatan siber dapat disampaikan secara berterusan dan lebih berkesan kepada masyarakat luar bandar.
Isu keselamatan digital kini semakin mendapat perhatian susulan peningkatan kes penipuan dalam talian, kebocoran data peribadi serta penyebaran maklumat palsu yang memberi kesan kepada pengguna internet di negara ini.
Sehubungan itu, orang ramai disaran sentiasa berwaspada ketika melayari internet dengan melindungi maklumat peribadi, tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau pautan mencurigakan serta mendapatkan pengesahan daripada sumber sahih sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.
“Masyarakat perlu memainkan peranan bersama dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua,” menurut MCMC.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum