MCMC turunkan 56,929 kandungan lucah, sekat 4,841 laman sesawang lucah dan pelacuran

February 4, 2026 · Isu semasa

Usaha giat dijalankan bagi menyekat aplikasi dan kandungan dalam talian yang berunsur songsang serta lucah bagi melindungi masyarakat, khususnya golongan muda, daripada pengaruh negatif dunia digital.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, iklan dan kandungan yang muncul dalam aplikasi biasanya dijana melalui algoritma yang menyesuaikan paparan berdasarkan corak penggunaan internet pengguna.

Namun begitu, beliau menegaskan pihak berkuasa sentiasa menjalankan pemantauan aktif.

“MCMC melaksanakan pemantauan proaktif dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan memudaratkan termasuk kandungan lucah, sumbang dan jelik melampau yang melanggar undang-undang,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, dari 1 Januari 2022 hingga 15 Januari 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengemukakan 76,408 permohonan kepada penyedia perkhidmatan bagi menurunkan kandungan memudaratkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 56,929 kandungan berjaya diturunkan manakala 4,841 laman sesawang lucah dan berkaitan pelacuran telah disekat.

Bermula 1 Januari 2026, peruntukan baharu di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia turut dikuatkuasakan.

Peruntukan itu mewajibkan penyedia pesanan internet dan media sosial dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi dan perlu mematuhi undang-undang tempatan.

Selain itu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang berperanan memberi nasihat serta cadangan kepada MCMC berkaitan isu keselamatan digital. Jawatankuasa itu melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pesuruhjaya Kanak-kanak dan penyedia perkhidmatan berlesen.

Langkah ini dibuat susulan kebimbangan meningkat terhadap penyebaran kandungan tidak bermoral dalam talian yang boleh menjejaskan nilai sosial serta kesejahteraan masyarakat.

Kerajaan menegaskan pendekatan kawal selia lebih tersusun diperlukan bagi memastikan syarikat digital berskala besar mematuhi undang-undang Malaysia.

“Pendekatan ini penting untuk memastikan ekosistem digital negara kekal selamat dan bertanggungjawab,” kata Fahmi.

Berita berkaitan
PH mahu menang atas kekuatan sendiri, bukan kelemahan lawan: Fahmi
14 jam lalu· Politik
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
14 jam lalu· Isu semasa
62 NADI Negeri Sembilan tawar latihan AI percuma
14 jam lalu· Isu semasa
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
15 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
15 jam lalu · Isu semasa
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
June 12, 2026 · Isu semasa
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
June 11, 2026 · Isu semasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
June 11, 2026 · Isu semasa
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
June 11, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok