Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media tempatan yang terus melaksanakan tugas dengan berpegang kepada etika dan integriti dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata peranan media hari ini semakin mencabar susulan perkembangan pesat teknologi yang mengubah landskap penyampaian maklumat, namun prinsip kewartawanan yang berteraskan etika tidak boleh diketepikan.
“Saya harus sampaikan terima kasih dan menghargai jasa khidmat berpanjangan rakan-rakan pengamal media di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini.
Menurut beliau, pengamal media memainkan peranan penting dalam membantu rakyat memahami pelbagai dasar kerajaan serta agenda pembangunan negara yang sedang dilaksanakan.
Anwar berkata kebebasan bersuara dan kebebasan media perlu terus dipertahankan dalam sebuah negara demokratik, namun ia mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat, sahih dan tidak mengelirukan masyarakat.
“Kadang-kadang orang sibuk bercakap soal pertumbuhan ekonomi, digital, transisi tenaga dan AI tetapi jangan lupa bahawa semua kerangka baharu itu tidak harus meninggalkan aspek etika dan nilai.
“Apa yang disampaikan itu benar atau palsu, hak atau batil, ditentukan oleh etika dan nilai, bukan semata-mata fakta. Ini satu cabaran besar yang perlu kita hadapi dan amalkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kebebasan yang diberikan tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan kestabilan sistem dan institusi negara, terutama dalam era ledakan maklumat serta penggunaan media sosial yang semakin meluas.
Katanya, penyampaian maklumat yang bertanggungjawab amat penting bagi membantu rakyat membuat penilaian yang tepat terhadap sesuatu isu dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang mengangkat tema *“Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”* menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, termasuk delegasi dari Timor-Leste, Kemboja dan Laos.
Pada majlis itu, Anwar turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernama dan TATOLI, agensi berita nasional Timor-Leste, sebagai usaha memperkukuh kerjasama media serantau.
Beliau juga menyampaikan Anugerah HAWANA kepada bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman, manakala Anugerah Khas HAWANA 2026 diberikan kepada bekas Ketua Bernama Radio, Allahyarham Azlan Idris, sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan industri media negara.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga penggiat media yang berdepan masalah kesihatan.
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum