Menteri agama saman fitnah pensyarah universiti awam

June 18, 2025 · Isu semasa

Seorang pensyarah dan ahli politik di sebuah universiti awam berdepan tindakan saman fitnah yang diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadapnya.

Saman tersebut dibuat terhadap Dr Abu Hafiz Salleh Hudin selaku defendan, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co, pada 14 Jun lalu.

Abu Hafiz didakwa membuat fitnah menerusi satu kenyataan yang disiarkan di aplikasi X dan laman sosial Facebook.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Na’im berkata, sejak penghujung 2024, defendan menunjukkan pola konsisten menerusi pelbagai kenyataan awam, sama ada melalui posting di akaun X atau akaun Facebook miliknya atau kenyataan yang disiarkan portal berita.

Plaintif berkata, ia secara langsung atau tidak langsung menyentuh dan menyerang dirinya secara tidak adil dan keterlaluan.

Beliau berkata, pada 5 Februari dan 4 Mei lalu, Abu Hafiz membuat pernyataan-fitnah yang diterbitkan semula oleh defendan melalui satu posting di akaun X beliau (defendan), yang berniat jahat dan tidak benar.

Katanya, ia membawa maksud antaranya Mohd Na’im adalah pemimpin yang angkuh, keras kepala dan sombong, yang menolak nasihat serta enggan menerima pandangan orang lain dalam membuat keputusan berkaitan agama.

Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau gagal menjalankan tugas dengan berkesan, walaupun dalam perkara mudah, sehingga menyebabkan dasar dan inisiatif kerajaan menjadi bahan ejekan dan ditolak oleh sebahagian ahli Parlimen di Parlimen.

Mohd Na’im berkata, ia turut bermaksud beliau adalah pemimpin yang angkuh, elitis dan tidak cakna dengan nilai kesederhanaan, seolah-olah menganggap dirinya lebih tinggi daripada pegawai lain, dan bertentangan dengan prinsip kepimpinan Islam.

Plaintif berkata, pada 6 Mei lalu pula, defendan atau wakilnya telah memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu rakaman siniar (podcast) di platform Facebook di bawah akaun yang dikenali sebagai Iswardy Morni Utama.

“Ia adalah melampaui keraguan bahawa defendan mempunyai niat jahat terhadap saya. Ia jelas juga bahawa defendan berniat untuk menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat dengan memfitnah saya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan dan memohon injunksi supaya memadamkan posting berkenaan serta menghalang ia daripada disiarkan semula.

Berita berkaitan
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
2 jam lalu· Politik
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
2 jam lalu· Politik
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
5 jam lalu· Isu semasa
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
August 24, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
2 jam lalu · Isu semasa
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
6 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Ingat arahan bos, kerani pindah RM452,000
6 jam lalu · Isu semasa
Jerebu makin meluas, 29 kawasan catat IPU tidak sihat
24 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi lemah 3.1 gegar perairan Batu Pahat
24 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok