Menteri Agama, Dr Mohd Na'im Mokhtar
Mohd Na’im Mokhtar mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan kenyataan fitnah di media sosial dengan mengaitkannya kepada gejala songsang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan firma guaman yang mewakilinya telah mengeluarkan notis tuntutan susulan kandungan yang dimuat naik di Facebook, yang didakwa bersifat palsu, berniat jahat dan mencemarkan reputasinya sebagai anggota pentadbiran kerajaan serta pemegang portfolio hal ehwal agama.
“Sehubungan itu, tindakan undang-undang yang diambil adalah bagi mempertahankan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Video yang tular itu memaparkan dakwaan bahawa menteri-menteri menjadi dalang kepada berlakunya maksiat dan budaya songsang, selain menyertakan petikan berita berkaitan operasi spa songsang yang pernah dikaitkan dengan Na’im sebelum ini.
Mengulas lanjut, Na’im menyifatkan semua tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasaskan fakta, malah mengingatkan bahawa perbuatan menyebarkan fitnah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang serta bertentangan dengan ajaran Islam.
“Tindakan ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya bertujuan memastikan platform digital tidak dijadikan medan untuk memanipulasi persepsi atau menyemai kebencian dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan akan menghormati sepenuhnya proses perundangan dan menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak guaman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya akan terus fokus melaksanakan amanah sebagai menteri dan menumpukan usaha kepada pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara,” katanya.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum