Isu kontroversi RCI Tabung Haji.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Menteri Agama, Zulkifli Hasan berkata titah Seri Paduka Baginda mencerminkan kepentingan memastikan amanah serta kepercayaan umat Islam terhadap TH sebagai institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara terus dipelihara.
“Tindakan tegas dan saksama berdasarkan lunas undang-undang sewajarnya diambil ke atas mana-mana individu atau entiti yang didapati bersalah melanggar amanah serta prinsip tadbir urus,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit TH.
“Setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan yang disyorkan laporan RCI ini akan diperincikan secara teliti bagi memastikan struktur tadbir urus TH diperkemaskan ke tahap tertinggi.
“Komitmen berterusan ini amat signifikan bukan sahaja untuk menegakkan keadilan dan akauntabiliti, malah bagi memastikan kesilapan terdahulu tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Zulkifli berkata, JPM (Hal Ehwal Agama) akan memastikan TH terus kekal sebagai institusi pengurusan haji yang kukuh, berintegriti dan mendapat kepercayaan rakyat.
Pada Sabtu, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan berhubung Laporan RCI TH dijalankan secara menyeluruh sehingga setiap persoalan berkaitan dapat dirungkai.
Baginda turut menegaskan tiada pihak yang melakukan kesalahan wajar dilindungi, selain tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan pelbagai dapatan berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu kini menjadi perhatian susulan isu berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan dan keputusan yang dibuat dalam tempoh berkenaan.
Satu sidang khas Dewan Rakyat dijadual berlangsung pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan RCI tersebut.
Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi
Ashwad, Ziana Zain terima gelaran Datuk Melaka
Ringgit terus mengukuh, data ekonomi jadi pemangkin
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri