Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menghina, mencaci atau menjatuhkan maruah orang lain, sebaliknya menggunakannya secara berhemah dan bertanggungjawab.
Seri Paduka Baginda bertitah, perkembangan dunia digital ketika ini menyaksikan segelintir pihak semakin mengabaikan adab ketika berkomunikasi sehingga sanggup menyerang peribadi orang lain tanpa memikirkan kesannya.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyeru masyarakat, khususnya golongan muda, supaya memahami kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan rasa hormat terhadap orang lain.
“Suka saya ingatkan setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab. Saya seru gunakan media sosial dengan penuh adab serta hormat kepada orang lain.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen UiTM ke-105, hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar atau video palsu dengan tujuan memalukan dan menghina individu tertentu.
Baginda juga menasihatkan masyarakat supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan kebencian.
“Jangan kerana mahu jadi orang pertama yang berkongsi sesuatu yang belum pasti akhirnya kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian,” titah Baginda.
Menurut Sultan Ibrahim, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan kerana setiap pendapat boleh disampaikan melalui bahasa yang baik dan beradab.
Baginda berharap masyarakat dapat membentuk budaya komunikasi yang matang, dengan kebebasan bersuara digunakan untuk menyampaikan pandangan secara membina dan bukannya menyerang maruah seseorang.
“Berani memberi pandangan tetapi tidak menghina dan tegas mempertahankan pendirian tanpa menanam kebencian.
“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Baginda.
Pada majlis sama, Sultan Ibrahim berkenan menamakan Kampus Jalan Othman sebagai Kampus Tun Arshad Ayub bagi menghargai jasa Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub dalam penubuhan dan pembangunan UiTM sejak 1965.
Baginda bertitah, UiTM sudah melalui perjalanan selama tujuh dekad dalam usaha memperkasa pendidikan dan mengangkat martabat bangsa.
Seri Paduka Baginda turut mengucapkan tahniah kepada para graduan, ibu bapa serta seluruh warga universiti atas kejayaan yang dicapai.
Baginda berharap UiTM terus memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkualiti demi kemajuan negara.
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum