Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan rombakan besar-besaran terhadap pelan antirasuah tahun ini bagi mengekang rasuah dan salah guna kuasa yang dilihat semakin membimbangkan dalam sistem pertahanan negara, khususnya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, semua proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki mengikut amalan terbaik bagi memastikan ketelusan dan integriti dipulihkan sepenuhnya.
Beliau menegaskan, tiada sebarang toleransi terhadap pegawai yang terlibat dalam perbuatan rasuah kerana ia boleh menggadaikan keselamatan negara.
“Rasuah, atau persepsi rasuah, dalam apa jua bentuk di MINDEF mesti dihentikan. Tiada kompromi. Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda menjadi punca sektor keselamatan kita dikompromi,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan.
Menurut beliau, pelan antirasuah MINDEF akan dirombak secara menyeluruh tahun ini dengan fokus utama kepada penutupan ruang ketirisan, selain memperkukuh tadbir urus dalam setiap peringkat pengurusan.
Khaled menyifatkan rasuah sebagai ancaman dalaman yang lebih berbahaya kerana mampu melemahkan negara tanpa sebarang peperangan.
“Rasuah menafikan kita daripada memiliki aset berkualiti, mengancam keselamatan anggota dan merosakkan disiplin yang dibina dalam ATM. Ia adalah barah yang menjadikan kita tidak cekap dan tidak berdaya saing sebagai negara kuasa pertengahan,” katanya.
Pada masa sama, MINDEF akan terus memperkasa keupayaan pertahanan negara melalui pemodenan aset sejajar dengan pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Tahun ini, beberapa aset baharu dijangka diterima termasuk empat pesawat Fighter Lead-In Trainer–Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), tiga sistem Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dan lima bot Fast Interceptor Craft (FIC).
MINDEF juga akan memulakan perolehan aset strategik baharu seperti sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD), Short Range Air Defence (SHORAD), Multi Role Support Ship (MRSS) dan Medium Range Air Defence (MERAD).
Selain itu, kerajaan akan memberi tumpuan serius kepada pembangunan industri pertahanan tempatan dengan pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dijangka diumumkan bulan ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Dalam Belanjawan 2026, MINDEF diperuntukkan RM21.74 bilion, meningkat 2.92 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan RM6 bilion khusus untuk perolehan aset dan kelengkapan ATM.
Seorang guru didakwa amang seksual dua murid, miliki bahan lucah
Pembangunan AI perlu berteraskan nilai kemanusiaan: PMX
MCMC arah tindakan segera baiki liputan telekomunikasi di Kampung Tinagat
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi