Mokhtar Senik.
Seorang ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS mencadangkan supaya Muhyiddin Yassin dilantik semula sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) buat sementara waktu bagi meredakan keadaan dalaman gabungan itu, sementara menunggu pemimpin baharu yang benar-benar layak.
Mokhtar Senik berkata, cadangan tersebut tidak bertujuan memihak kepada mana-mana parti, sebaliknya lebih kepada usaha menenangkan suasana politik dalam PN yang kini dilihat memerlukan kestabilan kepimpinan.
“Elok juga Muhyiddin dilantik semula sebagai Pengerusi PN.
“Sekurang-kurangnya sambil menunggu calon yang betul-betul layak, iaitu calon yang tidak meminta-minta jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, prinsip kepimpinan dalam Islam menekankan bahawa jawatan bukan sesuatu yang perlu dikejar, sebaliknya dipikul sebagai amanah.
Katanya, perkara itu sering diingatkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW.
Mokhtar menegaskan kriteria seorang pemimpin tidak seharusnya dinilai semata-mata pada kepetahan bercakap, kebijaksanaan atau karisma, tetapi lebih penting tahap ketakwaan serta sikap tidak ghairah terhadap kuasa.
“Kepimpinan bukan sekadar cerdik dan pandai berpidato. Ia perlukan orang yang lebih bertakwa dan tidak teruja mengejar jawatan. Mungkin pemimpin seperti itu akan muncul nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Muhyiddin wajar memimpin sementara waktu bagi memastikan PN kekal stabil dan fokus menghadapi cabaran politik semasa.
“Buat masa ini, biarlah Muhyiddin memimpin dulu untuk menenangkan keadaan.
“Ini sekadar lontaran pandangan,” katanya.
PN merupakan gabungan parti pembangkang utama yang dianggotai Bersatu, PAS dan beberapa parti lain, dan pernah membentuk kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Isu kepimpinan gabungan itu kembali menjadi perhatian susulan perbincangan dalaman mengenai hala tuju dan strategi masa depan PN dalam landskap politik negara yang semakin kompetitif.
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan