Muhyiddin gesa siasatan telus tragedi Irene Sofiya

October 5, 2026 · Isu semasa

Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia dalam kejadian tragis di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyifatkan pemergian pelajar berkenaan pada usia muda sebagai satu kehilangan besar kepada keluarganya dan berharap mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan itu.

“Saya amat dukacita dengan berita pemergian Allahyarhamah Irene Sofiya, 16, dalam kejadian tragis di sebuah sekolah di Yong Peng.

“Saya merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga Allahyarhamah. Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda merupakan ujian yang amat berat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Muhyiddin menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Katanya, sekiranya siasatan mendapati wujud unsur jenayah atau kecuaian, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut undang-undang tanpa mengira pihak yang terbabit.

Beliau turut meminta Kementerian Pendidikan mengambil langkah pencegahan segera dan tidak hanya menunggu sehingga siasatan selesai.

Menurutnya, sebarang kelemahan berkaitan keselamatan, pemantauan, disiplin serta pengurusan kes buli dan keganasan di sekolah perlu dikenal pasti dan diperbaiki.

Muhyiddin turut mencadangkan audit menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan mekanisme pencegahan buli di semua sekolah, termasuk menilai keberkesanan saluran aduan serta tindakan susulan terhadap laporan yang diterima.

“Sebarang tanda buli, ugutan, gangguan atau ancaman terhadap keselamatan pelajar mesti dipandang serius dan ditangani sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain menghormati keluarga mangsa dan proses siasatan.

Muhyiddin menegaskan pemergian Irene Sofiya tidak seharusnya berakhir dengan ucapan takziah semata-mata, sebaliknya perlu menjadi peringatan untuk memperkukuh keselamatan pelajar di sekolah.

“Kita mesti memastikan tragedi seperti ini tidak berulang dan setiap anak yang melangkah ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang selamat serta pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Berita berkaitan
Guru cedera diserang pelajar di Kuching, polis tunggu siasatan lengkap
October 22, 2026· Isu semasa
Muhyiddin: Jangan salah guna kuasa dalam PN, ambil pengajaran
October 20, 2026· Politik
Kerajaan perkemas pelan hadapi jerebu, kesihatan murid diutamakan: Anwar
October 19, 2026· Isu semasa
Buli siber, kandungan palsu tidak boleh dinormalisasikan: MCMC
October 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
8 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
11 jam lalu · Isu semasa
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
11 jam lalu · Isu semasa
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
12 jam lalu · Isu semasa
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok