Syed Hussain Syed Husman.
Berdepan suasana ketidaktentuan global yang semakin memuncak, khususnya akibat konflik berpanjangan di Asia Barat, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyeru rakyat dan sektor industri agar lebih berdisiplin dalam penggunaan bahan api.
Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, perkembangan geopolitik semasa memberi tekanan besar kepada pasaran tenaga dunia, sekali gus memberi kesan tidak langsung kepada Malaysia.
Menurut beliau, langkah penjimatan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bersama.
“MEF menyokong usaha kerajaan dalam rasionalisasi bahan api dan menyeru semua pihak bertindak secara bertanggungjawab dalam menguruskan penggunaan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa isu penggunaan bahan api tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk pembuat dasar, sektor perniagaan dan pengguna.
“Ia memerlukan pendekatan seluruh negara, di mana kerajaan menyediakan hala tuju jelas, perniagaan meningkatkan kecekapan dan rakyat mengamalkan gaya penggunaan yang lebih berhemat,” katanya.
MEF turut memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan seimbang antara kelangsungan ekonomi dan keperluan kemampanan jangka panjang.
Pada masa sama, organisasi itu menggesa syarikat mempercepatkan peralihan kepada amalan lebih lestari, termasuk pelaburan dalam tenaga boleh baharu seperti solar dan penggunaan kenderaan elektrik secara berperingkat.
“Majikan juga digalakkan menubuhkan pasukan dalaman bagi mengenal pasti strategi penjimatan bahan api dalam operasi masing-masing,” katanya lagi.
Sebagai latar belakang, kerajaan sebelum ini telah memulakan langkah rasionalisasi subsidi bahan api bagi mengurangkan beban fiskal negara dan memastikan bantuan lebih bersasar kepada golongan memerlukan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa perutusan khas semalam turut mengumumkan pelarasan had pembelian petrol bersubsidi BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.
Menurut beliau, langkah itu dibuat susulan ketidaktentuan bekalan global, namun majoriti rakyat dijangka tidak terjejas kerana penggunaan purata bahan api adalah sekitar 100 liter sebulan, dengan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib