Bapa mendiang Altantuya Shaariibuu, Dr Shaariibuu Setev.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 25 Februari 2027 bagi mendengar permohonan keluarga Altantuya Shaariibuu untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah ganti rugi dalam kes kematian wanita warga Mongolia itu.
Peguam Abraham Au yang mewakili penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, mengesahkan tarikh berkenaan ketika dihubungi Bernama.
Mahkamah turut menetapkan 3 Disember ini bagi mendengar permohonan keluarga Altantuya untuk meminda notis usul berkaitan permohonan mendapatkan kebenaran merayu.
Prosiding pengurusan kes berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Rohaiza Hamzah, semalam.
Keluarga Altantuya memfailkan permohonan berkenaan pada 19 Februari lalu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Januari yang mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta.
Dalam keputusan sama, Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, yang disabitkan membunuh Altantuya.
Sebelum ini, keluarga mangsa memfailkan saman pada 2007 terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul Azhar dan kerajaan dengan menuntut ganti rugi RM100 juta.
Mereka mendakwa kematian Altantuya menyebabkan keluarga mengalami kejutan emosi serta trauma psikologi.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua defendan membayar ganti rugi RM5 juta kepada keluarga mangsa.
Kes pembunuhan Altantuya yang berlaku pada 2006 mendapat perhatian meluas selepas Azilah dan Sirul Azhar disabitkan bersalah pada 2009.
Kedua-duanya pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan, namun Mahkamah Persekutuan pada 2015 membatalkan keputusan itu dan mengekalkan sabitan terhadap mereka.
Pada 2023, hukuman mati terhadap Azilah ditukar kepada penjara 40 tahun selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan hukuman di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Permohonan terbaharu keluarga Altantuya itu menjadi satu lagi perkembangan penting dalam usaha mereka mendapatkan semakan terhadap keputusan berhubung pampasan atas kematian mangsa.
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan