Jenayah siber.
Satu rang undang-undang (RUU) baharu bagi menangani jenayah siber dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini, menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang dianggap sudah ketinggalan zaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata RUU Jenayah Siber yang digubal oleh Agensi Keselamatan Siber Negara itu telah dipersetujui secara prinsip oleh kerajaan pada 10 September lalu.
Beliau menjelaskan bahawa rang undang-undang ini akan memperkukuh keupayaan negara untuk menangani pelbagai bentuk jenayah siber moden.
“RUU Jenayah Siber ini akan dapat memastikan proses penyiasatan dan pendakwaan kes jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Menurut Dr Zaliha, RUU baharu ini amat diperlukan bagi menangani ancaman semasa seperti penipuan dalam talian, kecurian data, akses tanpa kebenaran, dan serangan terhadap infrastruktur maklumat kritikal negara.
Ia akan mewujudkan peruntukan baharu yang meliputi kesalahan substantif jenayah siber.
“Penggubalannya akan mengambil pendekatan lebih holistik dan terkini dengan memasukkan peruntukan merangkumi kedua-dua jenis jenayah siber iaitu jenayah berbantu dan bersandarkan siber,” jelas beliau.
RUU ini juga digubal selaras dengan prinsip ‘technology-neutral’ seperti yang diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan United Nations Convention against Cybercrime.
“Ini bagi membolehkan pelaksanaan RUU Jenayah Siber dapat disesuaikan dengan evolusi teknologi,” tambah Dr Zaliha.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk menyertai Konvensyen Budapest dan menandatangani Konvensyen PBB.
“Melalui penggubalan RUU ini, kerajaan berhasrat mengatasi kelompangan undang-undang sedia ada bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks,” tegasnya.
Usaha tersebut dilihat sebagai langkah kritikal untuk memastikan negara bersedia menghadapi sebarang bentuk ancaman siber pada masa hadapan, sekaligus melindungi ekosistem keselamatan siber negara secara menyeluruh.
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
Polis panggil sanusi, pemimpin UMNO bantu siasatan
Anwar tegas martabatkan bahasa Melayu, perluas penguasaan bahasa asing
Aminuddin gesa tindakan tegas terhadap pihak hina institusi diraja
RCI Tabung Haji: Kerajaan buat keputusan Rabu ini
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat