Takiyuddin Hassan.
PAS membangkitkan isu perkauman susulan pelantikan menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan yang kedua-duanya disandang oleh ahli Parlimen berbangsa Cina, dengan mendakwa keputusan itu dibuat bukan berasaskan merit atau keperluan dasar.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam menimbulkan kebimbangan, khususnya pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Su Fui sebagai timbalannya, selain pengekalan portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada seorang lagi pemimpin DAP.
“Kebetulan, ketiga-tiga jawatan strategik ini dipegang oleh pemimpin daripada latar belakang etnik yang sama. Wilayah Persekutuan bukan portfolio biasa kerana ia mewakili jantung politik dan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemusatan pentadbiran bandar, perumahan dan kerajaan tempatan di bawah satu parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan sah berkait ketidakseimbangan kuasa serta hala tuju sebenar pentadbiran negara.
Rombakan Kabinet itu menyaksikan Hannah menggantikan Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Mohd Na’im Mokhtar digugurkan daripada barisan Kabinet baharu.
Takiyuddin mendakwa pelantikan tersebut berkait dengan tekanan politik, termasuk spekulasi ancaman DAP untuk menarik diri daripada kerajaan jika tuntutan tertentu tidak dipenuhi.
“Jika jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik, ia merupakan hakisan serius terhadap prinsip kerajaan berintegriti dan melemahkan proses pembentukan dasar negara,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan langkah itu bertujuan mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama, sekali gus membolehkan dasar perbandaran, penggunaan tanah dan perumahan dibentuk tanpa semak imbang yang telus.
Tambahnya, pemusatan kuasa berkenaan boleh mencetuskan keresahan awam, terutama dengan cadangan undang-undang seperti Akta Pembangunan Semula Bandar yang didakwa berpotensi meminggirkan penduduk bandar berpendapatan rendah.
PAS juga mempersoalkan kesesuaian beberapa pelantikan lain dari segi pengalaman, kompetensi dan kredibiliti.
Muktamad! Tiada kerjasama dengan PAS walaupun putus dengan Bersatu: Zahid
UMNO jangan ulang formula lama kerjasama dengan PAS: Mahfuz
Bersatu tetap teguh walau ditinggalkan PAS: Azmin
Amanah sasar bertanding 20 kerusi pada PRN Johor
Perpisahan PAS-Bersatu sudah dijangka apabila tiada keikhlasan: Zahid
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi