Pejabat Peguam Negara beri penjelasan berhubung kelewatan lantikan Ketua Hakim Negara

July 8, 2025 · Isu semasa

Pelantikan jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan di bawah Perlembagaan, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC memberi penjelasan berhubung isu melibatkan lantikan jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara yang perlu perlu dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.

“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan terbabit masih perlu melalui beberapa formaliti.

“Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.

Beliau mendakwa, mesyuarat JAC sudah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.

Berhubung kenyataan mesyuarat JAC dipanggil tanpa notis mencukupi menurut Seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan, JAC boleh mengawal selia prosedurnya sendiri.

“Apabila terdapat keadaan yang mendesak, lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota.

“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas,” katanya.

Mengenai tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terbabit dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim, AGC berkata ia adalah dakwaan yang serius.

Bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia serta dilindungi undang-undang dan tuduhan terbabit tidak boleh disamakan dengan salah laku yang dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pramatang serta bersifat spekulatif semata-mata.

“Perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 adalah perkara yang tidak wajar pada peringkat ini. Kes itu membabitkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.

“Keadaan terbabit berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya.

AGC berkata, Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.

Tegasnya, kedua-dua institusi itu hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.

“Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berita berkaitan
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
17 jam lalu· Isu semasa
Anwar: PRU-16 awal? Tunggu masa sesuai
19 jam lalu· Politik
Kemalangan maut Temerloh: PM zahir takziah, minta siasatan teliti dijalankan
September 1, 2026· Isu semasa
Bersatu sambut baik langkah kerajaan ringankan beban rakyat: Muhyiddin
August 31, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
September 5, 2026 · Isu semasa
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
13 jam lalu · Isu semasa
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
17 jam lalu · Isu semasa
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
18 jam lalu · Isu semasa
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok