Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, menggesa pandangan bertulis Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) berhubung keputusan membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah didedahkan kepada umum.
G25 berkata, pendedahan itu penting bagi menjelaskan asas perundangan yang digunakan dalam keputusan pengampunan bersyarat berkenaan, terutama selepas timbul persoalan mengenai kedudukan tahanan rumah dalam sistem perundangan negara.
Menurut kumpulan itu, Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan LPWP perlu mempertimbangkan pandangan bertulis Peguam Negara, manakala Perkara 40(1A) menyentuh tindakan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat lembaga berkenaan.
“Orang ramai wajar diberikan akses kepada pandangan bertulis Peguam Negara serta representasi Menteri Wilayah Persekutuan. Perlu dijelaskan sama ada keputusan membenarkan tahanan rumah itu selari dengan nasihat bertulis Peguam Negara dan representasi yang dikemukakan,” kata G25 dalam kenyataan.
G25 turut mempersoalkan asas keputusan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menyentuh isu perintah tahanan rumah dalam kes Najib.
Kumpulan berkenaan mahu penjelasan diberikan mengenai perkara yang berubah dari sudut undang-undang atau punca kuasa yang digunakan sehingga keputusan tahanan rumah dapat dibuat.
G25 turut menggesa LPWP menyemak semula keputusan tersebut dalam mesyuarat akan datang dengan tujuan membatalkannya.
Pada 18 September lalu, LPWP memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028. Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah masih bergantung kepada pematuhan syarat berkenaan. Jabatan Penjara sebelum ini memaklumkan masih menunggu pemakluman rasmi bertulis sebelum tindakan lanjut dapat dilaksanakan.
G25 berkata, jika tahanan rumah mahu dijadikan sebahagian daripada sistem keadilan jenayah negara, mekanisme itu perlu mempunyai asas undang-undang, kriteria dan prosedur yang jelas serta terpakai secara menyeluruh.
“Menghormati peranan raja mengikut Perlembagaan bukan bermakna kerajaan mahupun rakyat perlu berdiam diri apabila timbul persoalan mengenai keabsahan undang-undang, ketelusan dan keadilan,” katanya.
Kumpulan itu turut membangkitkan persoalan sama ada mekanisme sama akan diberikan kepada banduan lain yang disabitkan dengan kesalahan setara.
“Rakyat berhak bertanyakan soalan yang mudah: Adakah layanan serupa akan diberikan kepada banduan biasa yang disabitkan dengan kesalahan setaraf? Sekiranya jawapannya tidak, kerajaan wajib menjelaskan prinsip keadilan saksama yang mewajarkan perbezaan layanan tersebut,” katanya.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan berkaitan RM42 juta dana SRC International.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Bila UMNO nak lancar tabung ganti kerugian 1MDB disakau Najib? soal Pemuda Amanah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum