Kerugian FELDA menjadi isu hangat diperkatakan.
Laporan awal berkaitan pengurusan dan tatakelola Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan mula didedahkan kepada umum minggu depan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan itu penting bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai persoalan pengurusan, dakwaan salah guna kuasa serta beban kewangan yang ditanggung FELDA.
“Minggu depan, mula laporan awal tentang FELDA. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa?” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam, hari ini.
Menurut Anwar, laporan itu akan diterbitkan selepas proses penyediaannya selesai dan orang ramai boleh menelitinya seperti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pendedahan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkemas tatakelola serta menangani kelemahan pengurusan yang berlaku sebelum ini.
Anwar sebelum ini mendedahkan kerajaan perlu menyediakan kira-kira RM980 juta setiap tahun bagi membayar hutang FELDA susulan kerugian yang ditanggung agensi itu.
Beliau berkata beban tersebut tidak wajar dipindahkan kepada peneroka yang tidak terlibat dengan masalah pengurusan.
“Setiap tahun, Kementerian Kewangan mesti sediakan RM980 juta. Apa dia? Dana untuk membayar hutang akibat kerugian FELDA. Setiap tahun hampir RM1 bilion daripada wang kerajaan, wang rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan turut menyediakan RM450 juta bagi membaiki serta membina semula kediaman petugas FELDA yang mengalami kerosakan selepas tidak diselenggara untuk tempoh lama.
“Saya jumpa pengurus FELDA, rumah mereka teruk, puluh tahun tidak dibaiki. Maka saya terpaksa luluskan RM450 juta untuk baiki semua rumah pengurus FELDA seluruh negara,” katanya.
Peruntukan itu diumumkan sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki kebajikan petugas FELDA, selain memastikan pengurusan agensi berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Isu pengurusan FELDA kembali menjadi perhatian selepas kerajaan mendedahkan keperluan menanggung komitmen kewangan besar bagi menyelesaikan hutang agensi itu.
Kerajaan sebelum ini turut menekankan pemisahan fungsi lembaga dan jawatankuasa pelaburan bagi memperkukuh proses membuat keputusan serta tatakelola FELDA.
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum