Pelaburan asing masih stabil dan menunjukkan peningkatan.
Pelabur asing kembali menunjukkan keyakinan terhadap pasaran ekuiti tempatan dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM223.9 juta pada minggu lalu, sekaligus menamatkan tempoh sembilan minggu berturut-turut menjual aset yang berlarutan sejak Julai.
Menurut laporan aliran dana mingguan MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), pelabur antarabangsa itu telah menjadi pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Jumaat iaitu RM230.7 juta.
“Tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk asing bersih ialah produk perindustrian (RM132.1 juta), perladangan (RM93.9 juta) dan pembinaan (RM92.8 juta),” kata MBSB IB.
Bagaimanapun, sektor perkhidmatan kewangan kekal menjadi fokus penjualan dengan aliran keluar bersih tertinggi mencecah RM155.9 juta, diikuti oleh penjagaan kesihatan dan produk pengguna.
Di sebalik keyakinan pelabur asing, institusi tempatan dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM133 juta, sekali gus menamatkan rentetan enam minggu membeli.
Pelabur runcit turut menjadi penjual bersih dengan melepaskan aset bernilai RM90.9 juta.
MBSB IB turut menjelaskan bahawa minat dagangan menyusut bagi semua kumpulan pelabur.
“Purata jumlah dagangan harian menyusut dalam kalangan semua kumpulan. Pelabur asing mencatatkan penurunan lebih besar sebanyak 18.9 peratus,” jelasnya.
Pulangan modal asing ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada sentiment positif dan keyakinan pasaran yang lebih kukuh pada minggu-minggu mendatang.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum