Abdullah Aqili Romeli.
Ketua Pemuda Amanah Bachok, Abdullah Aqili Romeli, meluahkan rasa kesal selepas dikenakan kompaun RM25,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dakwaan penyebaran berita palsu berkaitan isu kenaikan harga minyak.
Abdullah Aqili, 35, mengakui kesilapannya memaparkan poster yang mengandungi maklumat tidak sahih, namun menegaskan tindakannya itu bertujuan menyindir dan mengkritik agensi kerajaan yang didakwanya tidak bertindak sewajarnya terhadap penyebaran maklumat tersebut.
“Saya akui terkhilaf kerana memuat naik poster itu, tetapi niat saya adalah untuk menegur. Banyak pihak lain turut menyebarkannya dan saya bertindak secara sinis untuk menarik perhatian,” katanya dipetik laporan media.
Menurutnya, penjelasan telah diberikan kepada pegawai penyiasat MCMC, namun ia tidak diambil kira dalam keputusan akhir.
“Saya sudah menjelaskan perkara itu kepada pegawai penyiasat, tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan apabila saya tetap dikenakan kompaun RM25,000,” katanya lagi.
Kes tersebut timbul dalam konteks kebimbangan awam terhadap kenaikan harga bahan api susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.
MCMC sebelum ini memaklumkan beberapa siasatan telah dijalankan berkaitan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai isu berkenaan.
Hasil keputusan oleh Jabatan Peguam Negara, satu kes akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang untuk pendakwaan, manakala lima individu ditawarkan kompaun dan empat lagi menerima surat amaran.
Abdullah Aqili merupakan antara lima individu yang dikenakan kompaun tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap kompaun berkenaan.
“Saya akan cuba membuat rayuan dan berharap pihak MCMC dapat mempertimbangkan semula keputusan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranannya sebagai pemimpin akar umbi dalam kerajaan untuk membantu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dasar dan usaha semasa.
Selain itu, beliau juga memohon agar telefon pintarnya yang dirampas dalam siasatan dikembalikan.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
Anwar dakwa sikap tak sabar punca PRN Negeri Sembilan terpaksa diawalkan
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi