Najib Razak.
Tindakan pihak berkuasa yang menyembunyikan kewujudan titah adendum membabitkan Najib Razak dianggap cuba menafikan keadilan kepada bekas perdana menteri tersebut, kata Pemuda UMNO Pahang.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim mengkritik Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana lambat mengakui kewujudan titah adendum dan tidak seharusnya berlaku.
“Perkara sepenting ini tidak seharusnya mengambil masa setahun untuk diakui, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan titah daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang institusinya wajib dihormati dan dipelihara dalam kerangka Raja Berperlembagaan.
“Sikap mendiamkan diri, berdolak-dalik dan berlindung di sebalik alasan teknikal hanyalah cubaan untuk mengelak daripada menjunjung kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan AGC menafikan dan gagal mengakui lebih awal kewujudan titah itu bukan sahaja mengecewakan, malah mencerminkan kegagalan besar sebagai penjaga utama undang-undang negara.
Beliau menjelaskan ini bukan kesilapan biasa tetapi satu bentuk pengkhianatan terhadap kedaulatan undang-undang dan penghinaan terhadap institusi diraja.
Tegasnya, AGC sepatutnya menjadi lambang keadilan dan bukan menjadi alat untuk melengahkan atau menyembunyikan kebenaran.
“Kelewatan dan sikap tidak telus ini menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman dan membuka ruang kepada pelbagai persepsi negatif bahawa undang-undang hanya ditegakkan apabila ia menguntungkan pihak tertentu,” katanya.
Menurut Kamil, keadaan itu menimbulkan kebimbangan jika perkara sebegini boleh berlaku terhadap seorang bekas Perdana Menteri, maka apalah nasib rakyat biasa.
Tambah beliau, kesan daripada kegagalan ini amat serius kerana institusi undang-undang dan kehakiman dilihat berat sebelah dan tidak lagi bebas.
“Kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan semakin terhakis.
“Malah kedaulatan Raja-Raja Melayu tercabar akibat kegagalan penjawat awam menjunjung titah dan negara berisiko berdepan krisis perlembagaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan AGC ini adalah satu amaran bahawa sistem sedang pincang dan mereka tidak boleh terus bersembunyi di sebalik alasan teknikal apabila maruah institusi dan kepercayaan rakyat menjadi taruhan.
“Kami menuntut AGC tampil memberi penjelasan secara terbuka kepada rakyat dan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini.
“Sekiranya mereka tidak mampu menjunjung Perlembagaan dan menghormati titah Raja, maka mereka yang ada dalam AGC ini tidak layak memegang jawatan setinggi itu.
“Jangan biarkan negara ini rosak hanya kerana segelintir yang memilih untuk tunduk kepada tekanan, bukan kepada kebenaran,” katanya.
Pada Rabu, AGC memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Sebaliknya Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
“Kami berpendirian, titah itu wujud namun prosedur untuk mengemukakannya melalui bukti tambahan perlu dipatuhi. Maka kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.
PH umum calon PRN Melaka minggu depan
Kemelut Exco: MB Negeri Sembilan minta selesaikan satu-satu
Isu RM2.1 bilion KKDW: Akmal persoal laporan Guan Eng kepada SPRM
SPRM perlu teliti isu RM2.1 bilion projek jalan luar bandar: AMK
DUN Sarawak dijangka bubar November, PRN makin dekat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum