Pengguna domestik akan nikmati kadar elektrik sama atau lebih rendah: Fahmi

June 22, 2025 · Isu semasa

Pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai antara bukti komitmen kerajaan melaksanakan reformasi besar dalam sektor tenaga negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata langkah tersebut selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dan pengurangan pelepasan karbon menjelang 2050.

“Di bawah jadual tarif baharu ini, sebanyak 85 peratus pengguna domestik pemilik akaun dijangka terus menikmati kadar elektrik yang sama atau lebih rendah, sekiranya penggunaan tidak melebihi 1,000 kilowatt jam sebulan bermula 1 Julai 2025.

“Inilah antara reformasi besar yang sedang digerakkan secara bersepadu oleh kerajaan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini membuktikan bahawa dalam membawa pembaharuan, manfaat kepada rakyat masih menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Pantai Dalam hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan kerajaan.

Menurut ST, tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

Suruhanjaya itu memaklumkan perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) membabitkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

Pelarasan kadar purata tarif asas ditentukan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4, dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, menjadikan purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding tempoh RP3.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai merasmikan Karnival Kita MADANI yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan santai yang mengetengahkan isu semasa, dasar serta inisiatif kerajaan berlandaskan konsep Malaysia MADANI.

Antara pengisian program termasuk Jualan RAHMAH dan Agro MADANI, pertandingan sukan rakyat dan kanak-kanak serta pameran membabitkan 21 agensi kerajaan termasuk kaunter bayaran saman trafik dan pembaharuan lesen memandu. – Bernama

Berita berkaitan
Kerajaan fokus ringankan hidup rakyat, permudah aktiviti perniagaan: Fahmi
January 11, 2026· Isu semasa
Penyedia platform media sosial akan diwajibkan sekat akses pengguna bawah 16 tahun
December 4, 2025· Isu semasa
MCMC turunkan lebih 1,500 kandungan berbaur perkauman tahun ini: Fahmi
December 4, 2025· Isu semasa
Tengku Zafrul dijangka diberikan peranan baharu bantu kerajaan
November 28, 2025· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
January 24, 2026 · Isu semasa
Anwar nafi isu tanah Malaysia diserah kepada Indonesia
January 24, 2026 · Isu semasa
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
18 jam lalu · Isu semasa
Saluran aduan media kini dibuka, fokus profesional dan telus: Fahmi
18 jam lalu · Isu semasa
X ambil langkah tingkat keselamatan, beri kerjasama baik: Fahmi
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
January 20, 2026
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong
January 19, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok