Kes scam.
Seorang penjawat awam wanita kerugian RM22,033 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud yang dipromosikan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa yang berusia lewat 40-an mula tertarik dengan skim pelaburan itu selepas melihat satu iklan di Facebook pada 15 Jun lalu.
Menurut beliau, mangsa kemudian menghubungi individu menggunakan nama “Rafidah” pada 25 Jun sebelum membuat pembayaran pertama sebanyak RM300 pada malam hari yang sama.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa dihubungi seorang wanita dikenali sebagai ‘Liza’ yang memperkenalkan diri sebagai pentadbir pelaburan tersebut sebelum mengarahkan mangsa membuat beberapa lagi pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya melakukan beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam beberapa akaun bank berbeza, termasuk pembayaran sebanyak RM1,300 dan RM2,487 pada 27 Jun, diikuti RM4,642 serta RM5,803 pada 29 Jun.
Katanya, mangsa turut membuat satu lagi pembayaran sebanyak RM7,500 pada hari berikutnya, kononnya bagi melengkapkan proses pelaburan.
Bagaimanapun, selepas semua transaksi dilakukan, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa yang berasa tertipu tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Azli berkata, keseluruhan wang yang lesap merupakan simpanan peribadi mangsa.
Beliau turut memaklumkan polis menerima dua lagi laporan membabitkan modus operandi sama, namun masing-masing melibatkan kerugian lebih RM2,000 dan RM800.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Jika pelaburan itu memerlukan pembayaran dibuat ke dalam dua atau tiga akaun bank milik individu berbeza, itu adalah petanda jelas ia merupakan penipuan yang dilakukan scammer,” katanya.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum