Persefahaman AS-Iran dialu-alukan, harap redakan ketegangan Asia Barat: PMX

June 15, 2026 · Isu semasa

Malaysia menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam usaha menamatkan permusuhan yang berlarutan antara kedua-dua negara, sekali gus dilihat sebagai perkembangan positif untuk meredakan ketegangan di rantau Asia Barat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut mengalu-alukan pengumuman memorandum persefahaman antara AS dan Iran dijangka ditandatangani dalam tempoh beberapa hari akan datang sebagai langkah susulan kepada rundingan yang berlangsung.

Menurut beliau, perkembangan itu memberi harapan baharu kepada usaha diplomasi yang sekian lama diusahakan bagi mengelakkan konflik lebih besar yang boleh menjejaskan kestabilan serantau dan global.

“Malaysia mengalu-alukan persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran ke arah menamatkan permusuhan serta melihatnya sebagai langkah penting dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Barat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap usaha pengantaraan yang berjaya membawa kedua-dua pihak ke tahap persefahaman tersebut, khususnya peranan yang dimainkan oleh Pakistan dalam memudah cara rundingan.

Beliau menegaskan pembukaan semula Selat Hormuz kepada laluan perkapalan antarabangsa kini perlu diberikan keutamaan memandangkan ia merupakan antara laluan maritim paling penting bagi perdagangan dunia dan bekalan tenaga global.

“Pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini mesti dianggap sebagai perkara yang paling mendesak. Selat itu adalah laluan penting bagi keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.

“Sebarang gangguan berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menggesa semua pihak yang terlibat supaya meneruskan proses yang telah dipersetujui dengan penuh tanggungjawab dan niat baik bagi memastikan persefahaman yang dicapai dapat diterjemahkan kepada penyelesaian damai yang berkekalan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk kuasa-kuasa luar yang mempunyai kepentingan di rantau berkenaan agar tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan usaha diplomasi atau mencetuskan semula permusuhan.

“Malaysia bersedia menyokong segala usaha ke arah mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, selain menyeru masyarakat antarabangsa supaya terus mengekalkan momentum positif ini,” katanya.

Hubungan antara AS dan Iran telah lama tegang susulan pelbagai isu termasuk program nuklear Iran, sekatan ekonomi serta persaingan geopolitik di Asia Barat.

Ketegangan itu turut memberi kesan kepada keselamatan perkapalan dan perdagangan global, khususnya di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
13 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
23 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
13 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
13 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
14 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
20 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok