Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan penting dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan penting dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, sempena kunjungan rasmi pimpinan bola sepak antarabangsa itu ke Malaysia.
Pertemuan itu menyaksikan perbincangan berfokus kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN.
Pertemuan ini dilihat sebagai satu langkah positif memandangkan bola sepak Malaysia pernah melalui fasa suram, termasuk sekatan serta teguran daripada FIFA berhubung isu pengurusan yang pernah membelenggu persatuan bola sepak negara.
Dalam pertemuan tersebut, kerjasama melalui projek FIFA Arena dan Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA menjadi teras perbincangan.
Anwar berkata, inisiatif ini bakal membuka lembaran baharu untuk masa sukan paling popular di negara ini.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara,” jelas Anwar dalam satu hantaran di akaun Facebooknya.
Beliau turut menekankan Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA itu merupakan satu langkah strategik ke arah menjadikan rantau ini sebagai sebuah kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global.
Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak secara holistik.
Langkah ini merangkumi peningkatan kemudahan, program latihan berstruktur, serta kerjasama strategik yang berterusan dengan FIFA.
Usaha tersebut dilihat sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, sekaligus memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama Malaysia sebagai hab pembangunan bola sepak serantau yang dinamik.
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
Saluran aduan media kini dibuka, fokus profesional dan telus: Fahmi
X ambil langkah tingkat keselamatan, beri kerjasama baik: Fahmi
Kerajaan tarik balik RUU Pembaharuan Bandar untuk penambahbaikan: Fahmi
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong