Tangkap layar artikel fitnah yang tular.
PKR Pahang menafikan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dilaung “boo” ketika menghadiri Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan dan Sambutan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak semalam.
Ketua Penerangan PKR Pahang, Dr Suhaimi Ibrahim berkata, laporan sebuah portal yang mendakwa parti itu kesal Anwar menerima reaksi sedemikian adalah tidak benar, mengelirukan dan bukan kenyataan rasmi daripada PKR negeri itu.
Menurutnya, beliau sendiri berada di lokasi program dan mengikuti perjalanan majlis dari awal hingga tamat.
“Saya hadir sendiri di Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan dan Sambutan 70 Tahun FELDA. Berdasarkan pemerhatian sepanjang program, tiada insiden seperti yang didakwa berlaku.
“Dakwaan Anwar ‘kena boo’ adalah naratif yang diputarbelitkan dan disensasikan sehingga tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari.
Suhaimi berkata, sambutan itu berlangsung dalam suasana meriah, tersusun dan menerima kehadiran puluhan ribu warga FELDA dari seluruh negara.
Katanya, pengumuman berkaitan inisiatif kerajaan serta kebajikan peneroka turut menerima tepukan dan reaksi positif daripada hadirin.
Beliau turut menegaskan PKR Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dipetik portal berkenaan, termasuk menggunakan bahasa yang dianggap menghina warga FELDA.
“Penggunaan nama KEADILAN Pahang bagi memberi gambaran seolah-olah kenyataan itu datang daripada parti adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan reputasi organisasi,” katanya.
Suhaimi menyifatkan penyebaran dakwaan itu lebih menjurus kepada usaha membentuk persepsi politik berbanding menyampaikan laporan secara adil dan beretika.
Beliau menyeru pengamal media serta pengguna media sosial menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang ramai.
“Rakyat berhak menerima laporan yang tepat, berintegriti dan berasaskan fakta, bukan berita sensasi atau mengelirukan,” katanya.
Sambutan 70 Tahun FELDA di Jengka menjadi antara acara utama bagi menghargai sumbangan peneroka dalam pembangunan luar bandar dan sektor komoditi negara.
Program itu turut menjadi pentas pengumuman beberapa inisiatif berkaitan kebajikan peneroka, generasi baharu FELDA serta usaha memperkukuh masa depan tanah rancangan.
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum