Pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu Palestine mendapat sokongan PKR.
PKR menyokong gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih konkrit terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsa, Dr Maszlee Malik, berkata tindakan yang diambil beberapa negara Barat terhadap barangan dari penempatan Israel yang tidak sah menunjukkan masyarakat antarabangsa mempunyai instrumen lebih berkesan selain sekadar mengeluarkan kecaman diplomatik.
“Kami mengalu-alukan kenyataan bersama 12 negara Barat pada 8 September lalu, khususnya langkah Britain, Kanada dan Perancis untuk melarang perdagangan barangan yang berasal dari penempatan Israel yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, langkah itu perlu dilaksanakan dengan tegas dan disusuli tindakan lebih menyeluruh bagi memastikan sistem perdagangan, pelaburan serta kewangan negara tidak memudahkan atau mengaut keuntungan daripada aktiviti penempatan haram Israel.
Maszlee berkata, peluasan penempatan Israel, pengambilalihan tanah Palestin dan pemindahan penduduk telah berlaku selama beberapa dekad meskipun berdepan bantahan berulang daripada masyarakat antarabangsa.
“Undang-undang antarabangsa hilang maknanya jika pelanggaran hanya dikecam tanpa sebarang akibat,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pendirian Britain yang mengiktiraf ketidaksahan pendudukan Israel yang berterusan, selain mengakui isu pemindahan penduduk secara paksa dan peningkatan keganasan peneroka di Tebing Barat.
Katanya, perkembangan itu sepatutnya mendorong masyarakat antarabangsa beralih daripada sekadar menyatakan kebimbangan kepada tindakan bertanggungjawab dan usaha memastikan pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa dipertanggungjawabkan.
Pada masa sama, Maszlee juga menegaskan prinsip sama perlu diterapkan terhadap situasi di Gaza, termasuk keperluan akauntabiliti terhadap kemusnahan besar-besaran dan kematian orang awam serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih berdasarkan pakatan politik atau kepentingan strategik,” katanya.
Malaysia sejak sekian lama memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Maszlee berkata pendirian Anwar meneruskan prinsip tersebut, sambil menegaskan isu Palestin bukan berkaitan permusuhan terhadap mana-mana bangsa atau agama.
“Ini soal sama ada undang-undang antarabangsa terpakai secara sama rata kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata keamanan berkekalan tidak boleh dibina atas pendudukan, perampasan hak dan ketiadaan akauntabiliti, manakala penyelesaian dua negara juga sukar direalisasikan selagi wilayah Palestin terus berpecah akibat penempatan Israel yang tidak sah.
Menurutnya, langkah yang diumumkan beberapa negara berkenaan wajar dialu-alukan, namun ia perlu menjadi permulaan kepada tindakan antarabangsa lebih tegas, bukan pengakhiran.
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum