Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
PKR Temerloh menyatakan bantahan terhadap tuntutan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang dibangkitkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, dengan menegaskan ia tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangannya, Abdullah Hakim Ahmad berkata, tuntutan tersebut berpotensi menjejaskan asas perpaduan nasional yang sekian lama dibina melalui persefahaman dan toleransi antara kaum di negara ini.
Menurut beliau, sebagai sebuah negara majmuk yang berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, sebarang dasar pendidikan perlu berteraskan sistem pendidikan kebangsaan yang menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta medium utama penyatuan rakyat.
“Pengiktirafan UEC secara menyeluruh tanpa sebarang penyesuaian kepada sistem kebangsaan hanya akan mewujudkan jurang yang lebih besar dalam kalangan rakyat, khususnya melibatkan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdullah Hakim turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang menolak sebarang tuntutan berasaskan kaum dan tidak mencerminkan kepentingan nasional.
“Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri dalam mempertahankan asas kenegaraan serta prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau menegaskan PKR Temerloh menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha yang boleh mencabar kedudukan Bahasa Melayu, sistem pendidikan kebangsaan dan prinsip asas negara.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya rakan dalam Kerajaan Perpaduan, supaya lebih berhati-hati dalam mengemukakan tuntutan yang berisiko mencetuskan keresahan awam dan mengganggu keharmonian masyarakat.
“Setiap keputusan dasar perlu mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang kaum serta memastikan perpaduan nasional terus diperkukuh, bukan sebaliknya,” ujarnya.
Kes DNAA Zahid: Badan Peguam tunggu keputusan rayuan 14 Jun tahun depan
AMK: GPS, GRS sanggup terima PM daripada PAS?
Mahfuz persoal Sanusi: Mana hasil projek mega Kedah?
Isu perkataan ‘lighad’: Lim Sian See dipanggil polis
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum