Jalaluddin Alias.
Dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bakal kembali menyertai kerajaan Negeri Sembilan sebagai Exco disifatkan sebagai tidak benar dan sekadar khabar angin.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias menegaskan laporan yang tular itu tidak berasas.
“Itu adalah khabar angin… palsu,” katanya dipetik laporan media BH.
Penafian itu turut disokong ADUN Lenggeng, Asna Amin yang memaklumkan pimpinan UMNO negeri belum menerima sebarang arahan daripada kepimpinan pusat.
Menurutnya, semua wakil rakyat parti itu akan akur kepada keputusan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemelut politik yang dihadapi di negeri tersebut.
“Kami masih belum menerima arahan daripada pucuk pimpinan pusat. Selagi tiada arahan untuk kembali ke Exco, perkara ini kekal sebagai khabar angin,” katanya.
Nada sama turut disuarakan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi yang menyifatkan isu tersebut sebagai spekulasi semata-mata.
“Setakat ini tiada arahan rasmi diterima, dan kami akan patuh kepada keputusan pusat,” katanya.
Sebelum ini, media sosial hangat memperkatakan kemungkinan beberapa ADUN UMNO dilantik sebagai Exco baharu bagi menggantikan empat penyandang yang kehilangan jawatan selepas menarik balik sokongan kepada Menteri Besar Aminuddin Harun.
Kemelut politik di Negeri Sembilan memuncak apabila kesemua 14 ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar baru-baru ini, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai pembentukan semula kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Aminuddin menjelaskan tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan pelantikan Exco baharu.
“Tidak sesuai untuk saya menafikan kerana saya sendiri tiada maklumat mengenainya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tiada rundingan rasmi diadakan antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional atau Perikatan Nasional setakat ini.
Menurutnya, usaha untuk menghubungi beberapa ADUN UMNO juga tidak berhasil sejak isu tersebut timbul.
Kamil nafi beri layanan seperti ‘lembu’ didakwa Akmal
UMNO Negeri Sembilan minta sidang DUN disegerakan
Krisis Negeri Sembilan: Tony Pua dakwa UMNO main ‘tebuk atap’ dan tamak
Wanita PKR bidas tindakan 14 ADUN UMNO cetus krisis di Negeri Sembilan
Saman fitnah: Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak diarah bayar RM250,000
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan