Anwar menyantuni tujuh pemuda menyelamatkan mangsa daripada lemas semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana hari ini.
Tujuh pemuda yang bertindak pantas menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di Kundang baru-baru ini menerima penghargaan khas daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini.
Dalam pertemuan hampir 15 minit pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana, Anwar meluangkan masa mendengar sendiri detik cemas yang dilalui mereka ketika menyelamatkan mangsa.
Beliau melahirkan rasa bangga atas keberanian dan keprihatinan yang ditunjukkan, sambil menyifatkan tindakan spontan itu sebagai contoh terbaik nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
“Saya amat menghargai keberanian saudara semua. Tindakan pantas seperti ini mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang prihatin dan sanggup membantu tanpa berfikir panjang tentang risiko,” katanya.
Tujuh pemuda terbabit ialah Mohd Shahrizal Jarami, Mohamad Fahmi Ismail, Adam Syah Reza Hendri, Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, Muhammad Nor Haiqal Abd Karim dan Hariz Ismat Ruzaiizan.
Kesemua mereka menerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas keberanian menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan.
Insiden berkenaan berlaku pada Selasa lalu apabila sebuah kenderaan yang dinaiki seorang wanita bersama dua anak kecil dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di Kundang.
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan orang awam yang berada berhampiran lokasi.
Sebelum ini, media melaporkan ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan daripada lemas hasil tindakan pantas kumpulan pemuda berkenaan sementara menunggu bantuan pihak berkuasa tiba di lokasi.
Tindakan berani mereka kini menjadi inspirasi, sekali gus membuktikan semangat solidariti dan keberanian rakyat tempatan masih utuh dalam menghadapi saat genting.
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar