Zoo Negara.
Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta kepada Zoo Negara susulan prestasinya yang semakin memberangsangkan dalam menarik pelancong serta memperkukuh peranan pendidikan alam sekitar.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Zoo Negara kini bukan sekadar lokasi rekreasi, malah menjadi platform penting untuk mendidik masyarakat, khususnya murid sekolah, tentang kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan kelestarian alam.
“Tahun lalu saya umumkan RM5 juta untuk menaik taraf kemudahan dan penyelenggaraan Zoo Negara. Tahun ini, kerajaan meluluskan tambahan RM5 juta lagi bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan zoo berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, hari ini.
Pusat itu menempatkan sepasang panda gergasi baharu dari China, Chen Xing dan Xiao Yue, yang tiba di Malaysia pada 18 November lalu.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan China serta Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang atas sumbangan bermakna itu, yang disifatkan sebagai simbol kerjasama erat antara kedua-dua negara.
Menurutnya, kehadiran panda gergasi berkenaan menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberi impak positif kepada industri pelancongan negara.
“Kepakaran pasukan tempatan dalam menjaga haiwan ini sangat membanggakan. Saya dimaklumkan panda ini agak cerewet, pelbagai jenis buluh dicuba, namun hanya buluh dari Rembau yang mereka terima,” katanya sambil berseloroh.
Chen Xing dan Xiao Yue kini telah selesai menjalani tempoh kuarantin dan berada dalam keadaan sihat. Kedua-duanya dijangka menjadi ikon baharu Zoo Negara dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, perjanjian kerjasama konservasi antara Malaysia dan China dimeterai sempena Lawatan Negara Presiden Xi ke Malaysia pada 16 April 2025.
Melalui perjanjian antara PERHILITAN Semenanjung Malaysia dan China Wildlife Conservation Association, Malaysia menerima pasangan panda gergasi baharu bagi tempoh 10 tahun bermula 2025 hingga 2035.
Langkah ini dilihat sebagai win-win, bukan saja untuk pemuliharaan, tetapi juga untuk imej Malaysia di pentas global.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib