Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI kekal stabil dan berfungsi seperti biasa, sekali gus menolak dakwaan kononnya pentadbiran kerajaan campuran itu sedang berdepan krisis politik.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya melayan spekulasi mengenai kedudukan Kabinet atau kemungkinan rombakan Jemaah Menteri.
Menurut Anwar, tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet susulan perkembangan politik, termasuk keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
“Sekarang kerajaan stabil, dasar dibincangkan secara menyeluruh dalam Kabinet dan saya bekerja dengan menteri daripada pelbagai parti.
“Kita bekerja, berkongsi, berbincang dan mempunyai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN yang sensitif,” katanya dipetik laporan Bernama.
Anwar berada di Filipina bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November.
Mengulas keputusan Loke meletakkan jawatan, Anwar berkata beliau menghormati pendirian pemimpin DAP itu yang dibuat atas prinsip tertentu, walaupun sebelum ini sudah meminta beliau mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.
“Beliau atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian dia kerana pentingnya itu atas dasar prinsip yang dia pertahankan,” katanya.
Anwar turut menjelaskan perbezaan pendirian dalam kerajaan campuran bukan sesuatu yang luar biasa, memandangkan kerjasama politik membabitkan parti-parti dengan pendekatan dan pertimbangan berbeza.
Untuk rekod, Loke pada 10 November lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi politik, termasuk persoalan mengenai hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta kemungkinan berlaku perubahan dalam barisan Kabinet.
Bagaimanapun, Anwar berkata ruang perbincangan sentiasa terbuka bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan, sama ada melalui pertemuan rasmi atau tidak rasmi bersama pemimpin parti dan anggota pentadbiran.
Beliau menyifatkan dakwaan mengenai ketidakstabilan kerajaan sebagai cubaan pihak tertentu membina persepsi politik.
“Apa yang digembar-gemburkan itu hanyalah semata-mata agenda berkempen. Namun buat masa ini, kekal pada landasan, teruskan bekerja. Apa yang penting, kita berikan yang terbaik untuk negara ini,” katanya.
Kalah PRN Melaka bukan pengakhiran perjuangan: Mohamad Sabu
Parti Rafizi mungkin terkubur awal jika terlalu idealistik – Puad
PAS tiada sebab serah jawatan PM kepada UMNO – Kadir Jasin
Tindakan Timbalan Speaker bahas Belanjawan 2027 cetus bantahan MP
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis