Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Kerajaan bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 atau Akta 530 bagi membolehkan lebih daripada satu unit rumah dibina di atas lot kediaman milik peneroka FELDA.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting untuk menyelesaikan isu perumahan generasi baharu FELDA yang semakin mendesak, khususnya apabila ramai anak peneroka mahu terus tinggal dan membina kehidupan di tanah rancangan.
Beliau berkata, FELDA telah diarahkan menyediakan draf pindaan akta itu dalam tempoh dua bulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibawa ke Parlimen pada tahun ini.
“Sekarang ini, lebih kurang 8,000 unit rumah telah siap dibina dan diduduki sejak 31 Disember 2025. Sementara kita hendak luluskan akta itu dan sebagainya, kita salurkan serta-merta utiliti air dan elektrik,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka hari ini.
Menurut Anwar, urusan penyediaan bekalan air akan diselaraskan bersama kerajaan negeri, manakala Tenaga Nasional Berhad telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua rumah yang sudah siap dibina.
Isu rumah generasi kedua dan ketiga FELDA bukan baharu.
Akta 530 sebelum ini mengehadkan pembangunan di lot peneroka, sekali gus menyebabkan sebahagian keluarga terpaksa tinggal berasingan atau membina rumah tanpa kemudahan asas yang lengkap.
Anwar berkata, projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang bermula pada 2013 melibatkan 43 tapak di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak, dengan keseluruhan 8,224 unit rumah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,458 unit di 12 tapak telah siap dengan sijil penyiapan dan pematuhan, manakala 2,546 unit di 13 tapak masih dalam pembinaan.
Bagi tahun ini, projek baharu akan dilaksanakan di Besout, Perak melibatkan 102 unit, Sungai Koyan, Pahang sebanyak 68 unit dan Pasoh, Negeri Sembilan membabitkan 540 unit.
Kerajaan juga meluluskan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan 554 unit projek perumahan generasi baharu yang terbengkalai di Bukit Aping Timur dan Pasak, Johor serta Kerteh 5, Terengganu.
Selain itu, RM20 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan projek Sentuhan Kasih FELDA di Laka Selatan, Kedah dan Palong 16, Negeri Sembilan.
Anwar berkata, sebanyak 31,954 Lot Generasi FELDA dikenal pasti memerlukan tindakan segera, termasuk lebih 15,000 lot di Johor dan 16,000 lot di Pahang.
Kerajaan turut memperuntukkan RM450 juta bagi kerja membaik pulih dan membina semula rumah petugas FELDA di seluruh tanah rancangan.
Beliau berkata, satu mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri akan diadakan pada Ogos bagi membincangkan isu tanah serta pembinaan rumah generasi kedua FELDA.
“Kita mahu kerajaan negeri beri kerjasama penuh supaya pelaksanaan ini dapat dipercepatkan dengan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum